Ahad, 20 Oktober 2019 | 8:22pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra dengan penduduk setempat selepas Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019 di Taman Rekreasi Pantai Eco Park, Lembah Pantai. NSTP/Aizuddin Saad

500 keluarga asnaf dapat bantuan zakat, barang keperluan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan keperluan harian kepada 500 keluarga terdiri daripada golongan asnaf di sekitar kawasan Lembah Pantai.

Pemberian sumbangan yang disempurnakan itu sempena program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019 di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu pada jam 11.18 pagi, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Yang turut hadir menyambut ketibaan Seri Paduka ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee.

Pada program itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan sumbangan bantuan terdiri daripada pakaian persekolahan kepada anak-anak asnaf bernilai RM5.1 juta, Bantuan Am Persekolahan sejumlah RM9.82 juta serta Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebanyak RM12.45 juta.

Semua bantuan berkenaan akan diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan golongan asnaf yang hadir ke program itu sebelum berangkat pulang kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan tahun ini membabitkan hampir 100 motosikal berkuasa tinggi dan 10 teksi dari kalangan penerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi yang berkonvoi lebih 30 kilometer bagi menyantuni golongan asnaf.

Konvoi bermula dari Taman Metropolitan Batu, seterusnya ke Masjid Al-Mukhlisin Taman Alam Damai, Cheras yang disambut oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar sebelum berakhir di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Lembah Pantai.

Sementara itu, Mujahid dalam ucapannya, berkata program itu adalah inisiatif MAIWP bagi memperhebatkan hebahan mengenai usaha proaktif MAIWP dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan, khususnya menerusi program agihan zakat.

"Dalam menunaikan amanah pembayar zakat, MAIWP merencana pelbagai aktiviti agihan zakat. Antaranya MAIWP menawarkan sebanyak 28 skim bantuan zakat merangkumi bantuan daripada aspek keperluan asasi, pendidikan, ekonomi dan kebajikan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X