Isnin, 21 Oktober 2019 | 12:23pm

Malaysia hampir bankrap sebab 1MDB - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Hakikat Malaysia tidak bankrap akibat kerakusan rejim pentadbiran terdahulu boleh disifatkan sebagai satu keajaiban, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi Perdana Menteri, kerosakan dilakukan individu tertentu sebelum ini yang didakwa menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi, bukan sahaja menjejaskan kewangan kerajaan tetapi juga institusi pentadbiran keseluruhannya.

“Satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara.

“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) adalah sesuatu yang amat besar, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya kerosakan dilakukan terhadap negara.

“Sebilangan besar hasil kerajaan sekarang diurus untuk membayar hutang, dana yang tinggal tidak mencukupi untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan.

“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,” katanya dalam ucaptama Persidangan ISIS Praxis ‘Malaysia Beyond 2020’ di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dengan kekangan itu, Dr Mahathir menegaskan, kerajaan terpaksa melakukan banyak usaha, mengambil masa dan kewangan untuk memastikan negara dapat diurus dengan sempurna.

“Selain rasuah dan penipuan kewangan yang berleluasa ketika itu, seluruh jentera kerajaan turut dilemahkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 diperkenalkan kerajaan dirangka susulan kegagalan Wawasan 2020.

“Tiada dasar yang sempurna, namun jika kita hanya menghabiskan masa untuk berdebat mengenai kebaikan dan keburukannya, kita tidak dapat memastikan rancangan itu tercapai.

“Semua dasar dan wawasan ini dicadangkan kerajaan. Sebilangan mereka akan bekerja dengan kerajaan dan agensinya tetapi semua ini akan hilang jika rakyat tidak bertindak balas dan memberi reaksi positif.

“Mereka mesti merebut peluang diwujudkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, matlamat ditetapkan dalam WKB adalah jelas iaitu memastikan tiada yang tertinggal dan semua rakyat mesti berkongsi kemakmuran serta mengecapi setiap hasil limpahan ekonomi dan pembangunan negara.

Menjawab soalan peserta pada sesi soal jawab selepas itu, beliau berkata, strategi sangat penting dalam membangunkan negara tetapi peperangan bukan permulaan terhadap usaha terbabit.

“Banyak negara berperang tanpa sebarang permulaan, sekadar mahu melepaskan kemarahan. Bagi Malaysia, strategi kita sangat penting. Mungkin ada nampak pertindihan tapi kita akan pastikan ia tercapai.

“Kita perlu memastikan rakyat berpuas hati dengan negara ini. Cara terbaik bukan untuk memastikan tiada siapa yang gembira, tetapi memenuhinya supaya semua orang gembira,” katanya.

Semua pihak, kata Dr Mahathir, perlu mengakui Malaysia sudah mencapai banyak perkara berkaitan kemajuan dan pembangunan, namun usaha itu perlu diteruskan.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi soal jawab sempena Persidangan ISIS Praxis Malaysia Beyond 2020 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X