Isnin, 21 Oktober 2019 | 3:30pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merasmikan Program Latihan Untuk Pakar Kesihatan Keluarga Malaysia-Ireland di RCSI dan University College of Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC), Georgetown hari ini. - Foto Danial Saad

Malaysia sasar lahir 8,000 pakar kesihatan

GEORGETOWN: Malaysia yang kini mempunyai 700 pakar kesihatan keluarga di sektor awam dan swasta, menyasarkan untuk meningkatkan bilangannya kepada 8,000 orang.

Tanpa memperincikan berapa lama masa diambil untuk mencapai sasaran itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya melihat kepada nisbah satu pakar kesihatan dengan 4,000 penduduk.

“Perkara ini sudah tentu akan ambil masa. Sekarang kita ada dua program untuk membantu melahirkan lebih ramai pakar kesihatan keluarga, iaitu kerjasama dengan Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) dan sebuah universiti di Australia.

“Kita juga ada program di peringkat tempatan. Apa yang penting, semua ini akan saling melengkapi sistem pendidikan perubatan kita bagi melahirkan lebih ramai pakar di negara ini,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Latihan Untuk Pakar Kesihatan Keluarga Malaysia-Ireland di RCSI dan University College of Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC) di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Ireland ke Malaysia, Hillary Reilly, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif RUMC, Prof David Whitford.

Seramai 35 doktor dipilih menjadi pelajar perintis kepada program selama empat tahun itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata punca kematian seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dijangkiti virus Zika, bukan disebabkan virus itu sahaja.

“Itu mungkin ada jangkitan yang lain dan kita dalam siasatan untuk melihat lebih teliti lagi.

“Ini kerana, selain Zika, mangsa turut dijangkiti demam denggi dan kencing tikus. Bagaimanapun, siasatan masih belum selesai,” katanya.

Jumaat lalu, Leftenan Muda (Maritim) Mohamad Ikmal Ibrahim meninggal dunia di Hospital Seri Manjung pada jam 4.45 pagi, selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Oktober lalu.

Mohamad Ikmal adalah mangsa pertama meninggal dunia akibat virus Zika tahun ini, dan kes kesembilan dilaporkan sejak empat tahun lalu yang mana lapan kes berlaku pada 2016.

Berita Harian X