Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:00pm
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Aswadi Alias
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Komik propaganda diharamkan jika langgar undang-undang

KUALA LUMPUR: Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ boleh diharamkan jika didapati melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan polis sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sudah tentu (komik boleh diharamkan), saya rasa kalau ia menyalahi undang undang. Namun kita perlu tunggulah apa keputusan siasatan polis.

“Kita juga menunggu keputusan dan pandangan daripada Kementerian Pendidikan, tapi di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN), setakat ini saya masih tak dapat gambaran atau arahan sama ada ia diharamkan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KDN akan mengharamkan komik yang mencetuskan kontroversi termasuk didakwa mempromosi ideologi China, yang disebarkan di beberapa sekolah.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan menegaskan tidak pernah memberi kebenaran atau kelulusan pengedaran buku komik itu, selain mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan sekolah tidak menerima dan mengedarkan buku komik berkenaan daripada mana-mana pihak atau pembekal.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, penulis komik itu sudah memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan siasatan wajar dibuat selepas hasil laporan awal Bahagian Keselamatan KDN mendapati kandungan komik berkenaan mempunyai perkara tidak benar dan tindakan tegas wajar diambil.

Komik itu diterbitkan pada April 2019 oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

Berita Harian X