Isnin, 21 Oktober 2019 | 6:42pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

Nelayan asing 'rompak' RM5 bilion setahun hasil negara

KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan hasil sebanyak RM5 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing dan perlu meningkatkan aset penguatkuasaan maritim negara dalam usaha mengawal kegiatan berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya akan mengemukakan perkara itu kepada Kabinet termasuk cadangan untuk membeli kapal induk bagi memudahkan operasi penguatkuasaan di laut.

Katanya, sebelum ini, kerajaan mengambil tindakan tegas menerusi Operasi Naga untuk memerangi kegiatan berkenaan dan akan diteruskan menerusi komitmen tiga kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

“Kita mesti bertanggungjawab supaya aset dan penguat kuasa ini ditingkatkan, selain nelayan tempatan turut menjadi mata dan telinga kerajaan supaya dapat membanteras nelayan asing daripada memasuki perairan negara ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) yang ingin tahu jumlah kerugian negara akibat pencerobohan nelayan asing dan langkah meningkatkan keberkesanan Op Naga.

Terdahulu, Ahmad Amzad turut bertanya sama ada kemunculan paus Orca (paus pembunuh) di perairan Kerteh, Terengganu berhampiran dengan Pelantar Dulang Petronas baru-baru ini mengganggu sumber perikanan negara.

Salahuddin berkata, kajian dilakukan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu mendapati paus muncul di perairan itu pada 16 Julai lalu tidak mengancam sumber perikanan negara dan nelayan tempatan kerana migrasi populasi spesies itu tidak kerap.

Katanya, spesies itu adalah subspesies Paus Pilot Sirip Pendek dan ia sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi antara 10 hingga 50 ekor dan dipercayai menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi berikutan musim sotong pada waktu itu.

"Paus Orca disenaraikan dalam spesies mamalia akuatik terancam dan dilindungi di bawah penguatkuasaan Seksyen 27 Akta Perikanan Negara 1985 dan seekor daripada spesies berkenaan didapati pernah mati terdampar di Sarawak pada 2013," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X