Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:50pm
Salahuddin (lima dari kanan) bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Agropreneur Agronbank (AAA) 2019, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi

MOA cadang KSU diberi kuasa urus benih padi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mencadangkan kepada Kabinet supaya Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu diberi kuasa bagi urusan kuota benih padi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata perkara itu dilihat mempunyai kepentingan supaya birokrasi dapat dipendekkan.

Katanya beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet bersama Kementerian Kewangan.

“KSU perlu diberi mandat laksanakan tanggungjawab itu, supaya selepas ini tiada lagi isu tunggu (benih padi) seminggu atau sebulan lagi.

“Kerajaan sudah menyediakan sejumlah bekalan benih padi berdasarkan permintaan, pesawah kawasan atau individu.

“Saya akui bekalan tidak cukup. Jadi kita kena mohon kuota, itu yang menyebabkan kelewatan,” katanya selepas menghadiri Anugerah Agropreneur Agronbank (AAA) 2019, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Salahuddin memperkenalkan slogan baharu kementeriannya iaitu MOA benteng makanan negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan penanggung tugas Presiden Agrobank, Khadijah Iskandar.

Salahuddin berkata, beliau difahamkan masalah itu akan selesai dalam minggu ini.

“Semua kuota dipenuhi cuma ada kes tertinggal seperti di Perlis dan Sabak Bernam serta Rompin. Tahun ini saja sudah 72,000 tan kita sempurnakan,” katanya.

Sementara itu, Agrobank mengumumkan tujuh pemenang AAA 2019 atas pencapaian usahawan dalam sektor pertanian.

Khadijah berkata, anugerah ini bukan saja berperanan sebagai inisiatif korporat Agrobank, malah bagi mengetengahkan usahawan agro dan memaparkan prospek serta potensi menggalakkan dalam perusahaan ini.

“Pertanian bukan sekadar aktiviti, malah ia satu perniagaan. Setiap peladang, penternak, nelayan dan pengusaha industri asas tani juga adalah usahawan yang berperanan penting menyediakan makanan untuk rakyat dan negara.

“Selagi kita perlukan makanan, selagi itulah perusahaan agro sentiasa relevan dan mempunyai masa depan cerah,” katanya.

Berita Harian X