Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:51pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Pelancaran OACP KPDNHEP 2019-2023 di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Perangi rasuah melalui OACP KPDNHEP 2019-2023

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memberi fokus kepada empat bidang utama dalam usaha memerangi rasuah di peringkat organisasinya.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata empat bidang utama itu digariskan dalam Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP KPDNHEP) 2019-2023, sekali gus menjadikan KPDNHEP kementerian pertama yang memenuhi Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP).

Beliau berkata, ia hasil kerjasama pegawai kanan kementerian termasuk Menteri dan Timbalan Menteri dengan bimbingan dan nasihat dari Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC); Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Empat bidang keutamaan terbabit ialah Penguatkuasaan Undang-Undang; Pentadbiran Sektor Awam; Perolehan Awam dan Tadbir Urus Terbaik serta Berintegriti Tinggi.

“Ia dipilih berasaskan isu dan cabaran dihadapi melalui aktiviti utama yang memberi impak kepada kementerian saya yang bertanggungjawab untuk melindungi hak pengguna dan peniaga.

“Usaha ini secara umumnya menggariskan misi yang menyumbang kepada keberkesanan pembanterasan rasuah dengan memperkukuhkan governans, integriti dan antirasuah warga KPDNHEP melalui pematuhan terhadap undang-undang, peraturan dan arahan yang dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran OACP KPDNHEP 2019-2023 di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, pihaknya mempunyai 3,000 kakitangan dan pegawai dengan 2,300 daripadanya dalam bidang penguatkuasaan, mudah terdedah kepada hal berkaitan integriti dan rasuah.

“Ini kerana KPDNHEP mempunyai 11 akta membabitkan penguatkuasaan dan pastinya dengan adanya OACP KPDNHEP 2019-2023, usaha memerangi rasuah akan mudah dilakukan.

“Pelan ini akan digerakkan ke semua kakitangan dan pegawai untuk membolehkan mereka memahami dan menjalankan tugasan mereka kerana akan mengetahui apa yang perlu dan dielakkan ketika menjalankan tugas,” katanya.

Mengenai penambahbaikan Sistem mySAFE yang dulunya dikenali My Standard, Saifuddin berkata, sistem yang dibangunkan sejak Jun 2012 adalah untuk memudahkan pihak industri melaksanakan proses pematuhan terhadap peraturan standard keselamatan mainan kanak-kanak dan bateri primer secara dalam talian.

“Sistem mySAFE dijangka akan beroperasi menggantikan MyStandard pada bulan depan.

“Satu sesi taklimat sistem MySAFE akan diadakan sebelum sistem beroperasi bulan depan yang diharapkan dapat merealisasikan usaha KPDNHEP memberi perkhidmatan dan informasi yang berkesan kepada pihak industri dan pengguna,” katanya.

Berita Harian X