Selasa, 22 Oktober 2019 | 4:14pm
Munir Mohd (kiri) pada pelancaran kejayaan kajian penyelidikan ternakan udang putih Super Intensif di FRI Gelang Patah, dekat Gelang Patah, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Munir Mohd (kiri) pada pelancaran kejayaan kajian penyelidikan ternakan udang putih Super Intensif di FRI Gelang Patah, dekat Gelang Patah, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Belia B40 digalak teroka industri perikanan laut dalam

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Perikanan giat menarik penyertaan nelayan tempatan khususnya belia B40 meneroka industri tangkapan ikan laut dalam, selari usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi, berkata langkah itu bertujuan mengekang nelayan asing daripada terus menceroboh perairan tempatan dan merompak hasil laut negara.

Ketika ini, hanya 800 pengusaha atau nelayan memiliki vesel laut dalam di negara ini dengan majoriti pekerjanya adalah warga asing.

“Jabatan Perikanan menggalakkan penyertaan belia B40 dalam industri penangkapan ikan laut dalam dengan pelbagai kursus dan program sedang dan akan dijalankan.

“Kita akan memberi sokongan termasuk mengkaji pemberian geran berkaitan penangkapan ikan laut dalam kerana industri ini sangat lumayan, cuma memerlukan kemahiran.

“Selain itu, kita juga mempunyai beberapa tempat latihan penangkapan ikan laut dalam yang boleh digunakan untuk melatih belia berminat supaya penangkapan ikan konvensional di pesisir pantai dapat digantikan dengan penangkapan ikan di laut dalam.

“Pendapatan lumayan menanti belia berminat dan dedikasi kerana setiap kru vesel laut dalam mampu mendapat hasil RM1,000 sebulan manakala tekong vesel boleh meraih sehingga RM20,000 sebulan, bergantung pada hasil tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman kejayaan kajian penyelidikan ternakan udang putih Super Intensif di FRI Gelang Patah, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah FRI Gelang Patah, Dr Saberi Mawi.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, dilaporkan berkata, Malaysia kehilangan hasil RM5 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing.

Selain melatih belia B40 terbabit dalam industri penangkapan laut dalam, Munir menegaskan, penguatkuasaan lebih ketat turut dilaksanakan.

“Sejumlah 127 vesel laut dalam nelayan asing dirampas menerusi Operasi Naga untuk memerangi kegiatan berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan bersepadu akan terus dilaksanakan menerusi Operasi Naga bagi memastikan perairan negara tidak terus menjadi sasaran rompakan nelayan luar,” katanya.

Berita Harian X