Selasa, 22 Oktober 2019 | 8:36pm
Muhammad Faiz (dua dari kiri) melakukan lelongan ikan ketika merasmikan Pasar Nelayan Nyiur Tujuh, di Jertih, hari ini. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

50 tan stok ikan segar beku hadapi tengkujuh

JERTIH: Tambahan 50 tan stok pelbagai ikan segar beku atau Q’Fish dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna sepanjang musim tengkujuh yang bakal tiba hujung tahun ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata dua Mesin Pembekuan Cepat Individu (IQF) bernilai RM1.8 juta ditempatkan di Kuala Kedah, Kedah dan terbaru di Kuala Besut, Terengganu, untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran ikan segar beku.

Katanya, Q’Fish yang dilancarkan di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah mampu memastikan kesegaran ikan sentiasa terjaga dengan suhu bersesuaian.

“Kita berharap tidak ada pihak yang akan ambil kesempatan menaikkan harga ikan terutama pada musim tengkujuh ini kerana bekalan ikan mencukupi. Nelayan Zon C biasanya tetap ke laut jika cuaca baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pasar Nelayan Nyiur Tujuh, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz menjelaskan, kewujudan pasar nelayan dapat mengurangkan peranan orang tengah selain memendekkan rantaian bekalan serta nelayan dapat menjual terus hasil kepada pengguna dengan harga murah tetapi tetap mendapat keuntungan.

“Pasar nelayan Nyiur Tujuh adalah yang keenam dari keseluruhan 128 pasar nelayan seluruh negara.

“Pada tahun ini peruntukan sebanyak RM3 juta diagihkan untuk membaik pulih 23 pasar nelayan sedia ada dan menambah empat pasar nelayan baharu di Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata, elaun sara hidup RM250 seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020, baru-baru ini, juga akan diagihkan kepada nelayan untuk meringankan beban hadapi musim tengkujuh selain membantu meningkatkan ekonomi melalui projek hiliran.

“Hasil jualan pasar nelayan tahun lalu mencecah RM44.67 juta dengan 506 peserta nelayan terbabit secara aktif,” katanya.

Berita Harian X