Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:37pm
Saifuddin ketika sesi dialog bersama media mengenai Pemodenan Perundangan Cap Dagangan : Apa Faedah Untuk Rakyat dan Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Saifuddin ketika sesi dialog bersama media mengenai Pemodenan Perundangan Cap Dagangan : Apa Faedah Untuk Rakyat dan Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Permohonan daftar Cap Dagangan dijangka meningkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangkakan pertambahan sehingga 4,000 permohonan pendaftaran cap dagangan apabila Akta Cap Dagangan 2019 dikuatkuasakan Disember ini.

Pindaan akta berkenaan bertujuan memenuhi keperluan komuniti perniagaan selaras dengan perkembangan harta intelek antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin akta yang dipinda menggantikan Akta Cap Dagangan 1976 itu akan mendorong lebih ramai usahawan tempatan melindungi cap dagangan perniagaan mereka.

“Sekarang undang-undang ini dalam proses pewartaan untuk diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Kita tahu apabila diwartakan nanti ia akan membawa kepada permohonan yang tinggi dan sudah berada di tahap bersedia untuk menerima pertambahan permohonan itu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Media mengenai Pemodenan Perundangan Cap Dagangan Di Malaysia: Faedah Untuk Rakyat dan Negara.

Akta Cap Dagangan 2019 yang diluluskan di Parlimen Julai lalu antara lain membolehkan negara menyertai Protokol Madrid bagi memudahkan usahawan tempatan membuat pendaftaran jenama produk mereka di 122 negara.

Antara negara yang menyertai Protokol Madrid bagi membolehkan perniagaan Malaysia memfailkan perlindungan hak milik jenama atau harta intelek mereka adalah Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Brazil, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Protokol Madrid adalah sistem pendaftaran antarabangsa ditadbir Biro Antarabangsa (IB) Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) yang akan memudahkan perniagaan tempatan berkembang ke luar negara.

Saifuddin berkata, akta yang dipinda juga turut memperkemaskan beberapa perkara berkaitan cap dagangan supaya selari dengan amalan yang dilaksanakan di negara terbabit.

Skop perlindungan cap dagangan tradisional dengan elemen seperti logo, jenama, label, nama, tandatangan, perkataan, huruf dan nombor turut diperluaskan kepada cap dagangan bukan tradisional.

Cap dagangan bukan tradisional termasuklah bunyi, urutan gerakan, hologram, bentuk atau bungkusan produk, warna, bau dan kedudukan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X