Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:47pm
PTPTN akan mengambil tindakan susulan selepas lima peminjamnya memfailkan writ saman kepada agensi itu.
PTPTN akan mengambil tindakan susulan selepas lima peminjamnya memfailkan writ saman kepada agensi itu.

Disaman peminjam: PTPTN ambil tindakan susulan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengambil tindakan susulan selepas lima peminjamnya memfailkan writ saman kepada agensi itu.

Dalam satu kenyataan, hari ini, PTPTN menjelaskan, tindakan diambil sebaik perbincangan dibuat bersama Penasihat Undang-Undang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Peguam Negara.

Setakat ini, jelasnya, agensi itu masih belum menerima sebarang salinan writ saman terbabit.

“Semakan dan penelitian lanjut akan dibuat selepas dokumen berkenaan diterima bagi memastikan kandungan sebenar di dalamnya,” katanya.

Semalam, lima individu memfailkan saman terhadap PTPTN dan Pakatan Harapan (PH) atas dakwaan melanggar janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Plaintif terbabit, Andy Putra Haris, 28; Farah Athirah Kamarozaman, 28; Mohamad Asrol Md Jailan, 27; Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27 dan Mohammad Awad Sobri, 34 turut menuntut penangguhan pembayaran balik pinjaman itu.

Plaintif mendakwa janji PH yang terkandung dalam Buku Harapan (manifesto) adalah kontrak yang mengikat plaintif serta masyarakat untuk mengundi PH pada PRU-14.

Dalam writ saman itu, plaintif turut menuntut satu pengisytiharan bahawa janji pilihan raya dan manifesto adalah satu kontrak yang mengikat parti politik jika memenangi PRU-14.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan diarah menangguhkan pembayaran balik PTPTN semua peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi pengajaran, kos dan lain-lain relif.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X