Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:05pm
PLUS akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol bermula esok sehingga 29 Oktober. - Foto hiasan

PLUS tutup semua lorong tambah nilai mulai esok hingga 29 Oktober

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol bermula esok sehingga 29 Oktober bagi melancarkan pergerakan trafik sepanjang musim perayaan Deepavali yang akan disambut Ahad ini.

Menurut kenyataan PLUS hari ini, penutupan lorong tambah nilai seperti mana dilaksanakan pada setiap musim perayaan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan pengguna lebuh raya beratur di lorong tambah nilai.

“Pada musim perayaan ini, PLUS menjang​ka​kan peningkatan jumlah trafik sebanyak 17 peratus kepada dua juta pada hari-hari puncak iaitu Jumaat hingga Sabtu (25-26 Oktober) dan Isnin (28 Oktober) berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pengguna yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go (TnG) mereka tidak mencukupi. Ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pengguna lain,” menurut kenyataan itu.

Justeru, PLUS menasihati pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka dan terlebih dahulu menambah nilai kad TnG mereka selain memastikan ia mempunyai baki yang mencukupi.

Menurut kenyataan itu, tiada perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar​ di plaza tol namun terdapat kira-kira 10,000 pusat menambah nilai kad TnG di seluruh negara termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, kedai serbaneka dan pasar raya.

Penggunaan perkhidmatan e-Wallet PayDirect ketika ini masih belum boleh digunakan, justeru pengguna Lebuhraya PLUS dinasihatkan agar menambah nilai kad TnG mereka untuk kegunaan di semua transaksi tol di lebuh raya kendalian PLUS, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Berita Harian X