Khamis, 24 Oktober 2019 | 3:04pm
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. NSTP/Sadam Yusoff

Masalah bekalan benih padi kerana penyakit

KUALA LUMPUR: Jabatan Pertanian terpaksa menolak benih padi sah yang dibekalkan sesetengah syarikat pembekalan benih kerana terdedah kepada pelbagai penyakit yang boleh merugikan pesawah.

Ia sekali gus menyebabkan berlaku masalah kekurangan benih padi di beberapa lokasi yang menjadi rungutan pesawah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata benih padi yang dijangkiti penyakit itu seperti bakteria bulir dan padi angin, tidak boleh dibekalkan kepada pesawah kerana ia akan menjejaskan pengeluaran petani kelak.

Justeru, katanya, pemindahan kuota kepada syarikat lain terpaksa dilakukan yang sekali gus membabitkan urusan kewangan.

“Pemindahan kuota pembekalan kepada syarikat lain membabitkan faktor libat urus kewangan dan penyelarasan antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kita akan uruskan secepat mungkin,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Azman mahukan jaminan kerajaan untuk membekalkan benih sah kepada pesawah mengikut masa ditetapkan.

Menjawab soalan asal Sabri Azit (PAS-Jerai), Tze Tzin berkata kerajaan meluluskan RM1.54 bilion untuk keseluruhan subsidi dan insentif padi dan beras tahun ini.

Katanya, bagi pembekalan baja di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan pula sebanyak RM382.5 juta, manakala RM413.8 juta diperuntukkan menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi meliputi baja tambahan dan racun perosak.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM626.5 juta bagi Skim Subsidi Harga Padi iaitu peningkatan daripada RM300 bagi setiap tan metrik jualan padi kepada RM360 berkuat kuasa musim penanaman pertama tahun ini,” katanya.

Berita Harian X