Khamis, 24 Oktober 2019 | 5:08pm
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Had nilai kuasa Lembaga Pengembangan Pendidikan dinaikkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan melaksanakan kaedah baharu penurunan kuasa kepada Jabatan Pelajaran Sabah dan Sarawak untuk mempercepatkan kerja pembaikan sekolah di kedua-dua negeri, mulai Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kaedah itu diyakini langkah berkesan untuk menaik taraf sekolah di negeri berkenaan khususnya sekolah daif.

“Pada Ogos lalu, kementerian memberi kuasa pemilihan kontraktor bagi setiap projek di bawah Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak.

“Selain ada wakil kementerian, wakil perbendaharaan dari Kementerian Kewangan, had nilai dan kuasa Lembaga Pengembangan Pendidikan (LPP) juga sudah ditingkatkan daripada RM30 juta kepada RM40 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Yamani Hafez Musa (PH-Sipitang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Yamani Hafez ingin tahu langkah proaktif jangka panjang yang diambil kerajaan untuk memastikan keseimbangan sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Nie Ching turut menjelaskan satu jawatankuasa tender khas peringkat negeri, yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan dianggotai wakil daripada kementerian , Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya diwujudkan bagi mengurus tender dan projek pemulihan aset kementerian di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan projek masih bergantung dan tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan 182 yang menyatakan bahawa pelaksanaan projek pembangunan di bawah kementerian dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau juga menjelaskan, kementerian sentiasa berusaha memberikan perhatian kepada sekolah yang memerlukan kerja penyelenggaraan serta naik taraf kemudahan institusi pendidikan di seluruh negara.

Pada tahun ini, kementerian menyalurkan RM27.4 juta kepada Jabatan Pelajaran Sabah dan RM16.6 juta kepada JPN Sarawak bagi mengekalkan fungsi aset yang ada selain untuk kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan penyelenggaraan pembaikan.

Berita Harian X