Khamis, 24 Oktober 2019 | 7:55pm
Dr Hew Kuan Yau meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (MCBC) hari ini. - NSTP/Rosdan Wahid

'Superman Hew' letak jawatan CEO MCBC

KUALA LUMPUR: Bekas aktivis DAP, Dr Hew Kuan Yau yang dikritik hebat berhubung pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan-Meraih Manfaat Bersama (BRI)', meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (MCBC) hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Superman Hew, yang memegang jawatan itu sejak Januari lalu, berkata keputusan berkenaan bagi memastikan operasi MCBC berjalan lancar.

“Sepanjang memegang jawatan ini, saya berusaha mengukuhkan ekonomi dan perdagangan serta mempromosi hubungan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan China termasuk dengan penulisan buku bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan-Meraih Manfaat Bersama’.

“Niat saya untuk membuka lebih banyak sumber bagi penubuhan sebuah negara moden Malaysia yang pernah dirosakkan oleh kleptokrasi kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sentiasa percaya jika rakyat Malaysia lebih memahami mengenai pembangunan dan perubahan masyarakat serta tamadun China, ia pastinya akan memberikan pengetahuan berharga dari segi persahabatan, ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Saya berterima kasih kepada pemimpin dan rakan sekerja di MCBC atas sokongan dan sentiasa cuba memahami saya. Selepas ini saya berhasrat menumpukan perhatian kepada keluarga, ibu bapa dan mentua,” katanya.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap komik itu atas dasar ia cuba mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta salah.

Warta perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menetapkan larangan mutlak terhadap ‘pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan’.

Susulan itu, KDN menyerbu Muzium Kebudayaan Komik di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sebanyak 13 komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang diterbitkan dalam versi bahasa Cina dirampas.

Komik itu mula menjadi perhatian apabila diedarkan di sebahagian sekolah menengah dan Kementerian Pendidikan kemudian menjelaskan tidak pernah meluluskan pengedarannya, selain mengarahkan sekolah untuk tidak menerimanya.

Berita Harian X