Khamis, 24 Oktober 2019 | 10:55pm
Mohamed Azmin berucap pada majlis makan malam Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2019 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Kuala Lumpur, hari ini. - Twitter Azmin Ali
Mohamed Azmin berucap pada majlis makan malam Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2019 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Kuala Lumpur, hari ini. - Twitter Azmin Ali

Sektor peruncitan perlu memanfaatkan AI, Data Raya

KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Data Raya perlu digunakan untuk mengubah model perniagaan sektor peruncitan kepada model baharu yang lebih cekap serta produktif.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kajian menunjukkan pendekatan itu akan menghasilkan penjimatan kos dan meningkatkan margin keuntungan diperoleh usahawan.

“Saya tegaskan bahawa sektor peruncitan tidak boleh diketepikan, sebaliknya perlu diintegrasikan dengan ekosistem ekonomi digital.

“Pada peringkat kerajaan, kita amat komited untuk membangunkan ekonomi digital, khususnya bagi menyediakan modal insan yang berkepakaran dan berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2019 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi mendigitalkan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain peruntukan sebanyak RM5.9 bilion bagi melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai penawaran kursus kemahiran dan program pendidikan dengan kerjasama industri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PUNB perlu menerokai fungsi baharu untuk memberdaya sektor PKS dan supaya generasi muda yang terbabit dalam ‘gig economy’ mampu melonjakkan potensi perniagaan mereka.

“Bagi mendukung pembangunan usahawan Bumiputera, kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM445 juta bagi tujuan pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan.

“Peruntukan sebanyak RM150 juta juga disediakan bagi program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh PUNB,” katanya.

Beliau berkata, PUNB mempunyai peranan strategik dalam menyediakan satu platform untuk memupuk dan merancakkan budaya keusahawanan dalam kalangan usahawan Bumiputera.

“Pada 2018, PKS mewakili 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan aktiviti keusahawanan di negara ini. Namun hakikatnya, PKS dan Perniagaan Mikro hanya menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan ini ternyata masih rendah jika dibandingkan dengan Indonesia (60.6 peratus), Jepun (54.5 peratus) dan Thailand (42.3 peratus).

“Simposium yang bertemakan ‘Reinventing Retail’ pada hari ini adalah tepat pada masanya untuk menghasilkan wacana baharu bagi mendepani cabaran getir kepada model perniagaan konvensional,” katanya.

Berita Harian X