Jumaat, 25 Oktober 2019 | 3:40pm
Tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog rasminya, Chedet.cc, hari ini.

PM luah rasa terkilan

KUALA LUMPUR: Keterbukaan terhadap penganjuran perhimpunan oleh etnik lain dan menganggapnya sebagai perkara biasa adalah cerminan toleransi masyarakat Bumiputera.

Justeru, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata di Malaysia kepelbagaian etnik dianggap sah di sisi perundangan dan sesuai mengikut acuan rencam masyarakat.

Namun keunikan itu, kata Perdana Menteri, tidak kelihatan di negara berbilang kaum lain di mana masyarakat bukan Bumiputera melalui proses asimilasi.

“Mereka menyesuaikan diri dengan budaya dan bahasa masyarakat Bumiputera, sehingga pada satu peringkat memutuskan hubungan (identiti) dengan negara asal, malah sanggup menukar kepada nama baharu.

“Di Malaysia yang dikurniakan dengan rakyat berbilang etnik, adalah biasa apabila rakyat negara ini memilih untuk mengekalkan identiti mereka dengan negara asal walaupun sudah bermastautin dan mendapat kerakyatan di sini hampir tiga generasi.

“Mereka tidak mahu hilang identiti kaum, justeru hubungan identiti ini ditunjukkan menerusi jenis bahasa, budaya, sekolah dan pertubuhan berkaitan, selain mengadakan mesyuarat yang mencakupi kepentingan kumpulan masing-masing.

“Kadangkala saya turut dijemput merasmikan mesyuarat ini dan diminta untuk menyampaikan ucapan,” katanya menerusi catatan terbaru di blog rasminya, Chedet.cc, hari ini.

Mengulangi pendirian, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, kehadirannya ketika penganjuran Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu adalah kerana atas dasar seorang Melayu.

Sehubungan itu, beliau terkejut apabila dinasihatkan untuk tidak menghadiri kongres yang sekadar mengupas mengenai maruah Melayu dan nasib mereka berikutan pelbagai situasi susulan peredaran semasa di Malaysia.

“Jelas mereka hanya bimbang mengenai risiko hilangnya maruah Melayu, walau apa saja maksud kenyataan itu. Seperti biasa, ada pandangan yang keterlaluan tetapi secara keseluruhannya ia seimbang.

“Mana boleh apabila etnik lain dibenarkan untuk berkumpul bagi membincangkan hal ehwal mereka, orang Melayu pula ditegah daripada berbuat demikian, malah dianggap sebagai mengamalkan sikap perkauman.

“Sekarang, ada pula gesaan supaya kumpulan perintis orang Melayu yang hadir pada penganjuran perhimpunan itu (Kongres Maruah Melayu) dipecat.

“Saya terkilan memikirkan masyarakat Bumiputera di negara sendiri tidak boleh mengadakan perhimpunan untuk diri mereka.

“Sudahlah tidak boleh berhimpun bagi membincangkan kepentingan hal ehwal sendiri, mereka didakwa sebagai rasis pula. Sudah pasti, saya pula akan dilabel sebagai rasis kerana menulis catatan ini,” katanya.

Berita Harian X