Jumaat, 25 Oktober 2019 | 6:46pm
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (kanan) menyampaikan Diploma Kemahiran kepada graduan Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (Kismec) pada Majlis Konvokesyen, di Sungai Petani. - Foto Nor Farhani Che Ad

Tak yakin TVET punca kurang pekerja mahir

SUNGAI PETANI: Antara penyebab negara terus ketandusan pekerja mahir ialah kurangnya keyakinan ibu bapa terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata Malaysia hanya memiliki 28 peratus pekerja mahir ketika ini.

“Sebelum ini, ibu bapa dan guru lebih memberi penekanan kepada pelajar supaya menyambung pengajian ke universiti melalui pencapaian akademik dan tidak melihat laluan kemahiran.

“Kini kita sudah buka laluan itu secara lebih meluas, bukan sekadar hingga Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap Lima tetapi ke peringkat ijazah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (KISMEC) 2019, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, langkah itu bertujuan memenuhi sasaran kerajaan meningkatkan jumlah pekerja mahir kepada 30 peratus pada tahun hadapan.

“Walaupun agak sukar untuk dicapai dalam tempoh yang ada, kita akan terus berusaha menetapkan pencapaian 30 peratus atau lebih,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran dan Sijil Profesional kepada 200 graduan.

Mahfuz turut mengharapkan graduan TVET mampu mencipta pekerjaan baharu, selain diberi peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.

“Graduan kita mesti tahu dengan segulung sijil, diploma mahu pun ijazah yang diterima, apa yang mereka boleh lakukan.

“Mereka bukan sekadar mencari kerja tetapi harus mencipta pekerjaan dan mencari pekerja,” katanya.

Berita Harian X