Jumaat, 25 Oktober 2019 | 9:13pm
Pemenang Pertandingan Akhir Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2019 yang berlangsung di Kampus IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur. - NSTP/Ihsan IPGKIK

DeTIK catat sejarah guna bahasa isyarat terjemah perbahasan

KUALA LUMPUR: Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) mencipta sejarah apabila memperkenalkan bantuan kod tangan bahasa Melayu (KTBM) untuk menterjemahkan bidasan dan hujah pendebat di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, di sini.

Pengenalan KTBM mencatat sejarah dalam arena perdebatan negara kerana memberikan kelainan kepada penonton yang menyaksikan peserta berdebat berlandaskan usul bertajuk Demi Kecekapan Pengurusan Harta Pusaka, Dewan Ini Akan Meluaskan Bidang Kuasa Amanah Raya Berhad.

Pengerusi DeTIK 2019, Wan Yusof Wan Ngah berkata, bidang Pendidikan Khas perlu ditonjolkan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat kepentingan golongan orang kelainan upaya yang memerlukan maklumat berhubung usul yang dibahaskan.

Beliau yang juga Pengarah IPGKIK berkata, ramai golongan berkenaan suka melihat debat tetapi tidak dapat memahami isu dan isi perdebatan kerana tidak diterjemahkan khususnya kepada golongan yang bermasalah pendengaran.

“Pendekatan ini bersesuaian peranan institut ini melatih bakal pendidik dalam bidang Pendidikan Khas.

“Membudayakan KTBM menjadi amalan dalam semua acara rasmi termasuk DeTIK 2019 apatah lagi ada siswa guru yang mempunyai masalah pendengaran sekali gus memperkenalkannya kepada penonton dalam skala yang lebih besar“, katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Sebanyak 64 pasukan daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta seluruh negara menyertai pertandingan berprestij itu dengan perasmian disempurnakan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr Rusmini Ku Ahmad.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) muncul juara, dikuti tempat kedua, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam; ketiga, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan keempat tuan rumah, IPGKIK.

Pendebat UiTM Shah Alam pula menggondol dua anugerah iaitu Pendebat

Terbaik Pertandingan Akhir menerusi Muhammad Faqris Aqasha Sahlan dan Pendebat Terbaik Keseluruhan, Syafiqah Adibah Amirudin.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Berhad, Adenan Md Yusof; Pengerusi MADUM, Prof Madya Dr Zulkifli Hassan dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Dr Hanafi Ibrahim.

DeTIK yang memasuki edisi keenam anjuran IPGKIK mendapat sokongan daripada rakan kolaboratif AmanahRaya Berhad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Sementara itu, Wan Yusof berkata, DeTIK turut menjadi menjadi platform pendebat novis memantapkan penguasaan bahasa Melayu tinggi ketika menyampaikan hujah dan bidasan.

Katanya, debat bahasa Melayu berasaskan pendidikan itu memfokuskan mahasiswa berusia 18 tahun sehingga 21 tahun bagi memantapkan strategi taktikal perdebatan sebelum menyertai debat lain yang lebih terbuka.

Beliau berkata, tema yang dibahaskan dalam DeTIK 2019 ialah Pendidikan dan Pengurusan Pewarisan berikutan ceteknya pengetahuan masyarakat keperluan merancang pewarisan yang boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk konflik keluarga, harta tidak dipindah milik, pentadbir yang dilantik tidak bersifat amanah dan kepentingan anak yatim diabaikan dan lain-lain.

“Melalui usul itu diharap masyarakat dapat melakukan anjakan dalam pemikiran dan lebih terbuka terhadap keperluan melaksanakan perancangan pewarisan bagi mencegah berlakunya pertikaian dan akhirnya memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi dan pendidikan waris yang ditinggalkan,” katanya.

Berita Harian X