Sabtu, 26 Oktober 2019 | 2:01pm

Gunakan hasil caj beg plastik untuk program alam sekitar

SUBANG JAYA: Kerajaan negeri disaran menggunakan hasil kutipan caj ke atas beg plastik khusus untuk program pemuliharaan alam sekitar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata langkah itu sudah pun dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang, melalui kempen ‘tiada beg plastik percuma’ pada 2009, sebelum dikemaskini pada 2016 bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Langkah yang diambil kerajaan Pulau Pinang boleh dijadikan contoh kepada kerajaan negeri lain dalam mentadbir urus hasil kutipan caj beg plastik dan digunakan untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran syarikat Ecobio Pack Sdn Bhd dan badan bukan kerajaan (NGO) Pawana di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, empat negeri juga sudah memulakan kempen pemberian straw atas permintaan, iaitu di Wilayah Persekutuan bermula Januari lalu, Kedah dan Pulau Pinang (April lalu) serta Selangor (Julai lalu).

Dr Wan Azizah menunjukkan penyedut minuman sekali guna keluaran syarikat Ecobio Pack Sdn Bhd. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Dr Wan Azizah menunjukkan penyedut minuman sekali guna keluaran syarikat Ecobio Pack Sdn Bhd. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

“Pengenaan caj ke atas beg plastik dan ‘no straw by default’ adalah inisiatif

kerajaan bagi mengelakkan pengguna menggunakan plastik sekali guna.

“Ia sekali gus mendorong pengguna membuat keputusan yang lebih mesra alam dengan membawa beg yang boleh diguna semula semasa membeli belah dan amalan meminum tanpa menggunakan penyedut minuman,” katanya.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga mengedarkan Surat Pekeliling Am (SPA) supaya semua kementerian dan agensi kerajaan mengadakan kempen menghindari plastik sekali guna di organisasi masing-masing semasa mesyuarat, majlis rasmi dan program kerajaan.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah mengakui cabaran paling besar bagi melaksanakan usaha itu adalah mengubah tabiat masyarakat terhadap penggunaan plastik melalui kempen kesedaran, selain penguatkuasaan.

“Cabaran seterusnya adalah di mana mereka boleh memperoleh produk biodegradasi untuk kegunaan harian,” katanya.

Berita Harian X