Sabtu, 26 Oktober 2019 | 4:07pm

Keadaan Ahli Parlimen Temerloh stabil, perlukan pemantauan rapi

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami strok semalam, kini dilaporkan semakin stabil tetapi masih memerlukan pemantauan rapi.

Ahli Parlimen Temerloh, Pahang ini ditempatkan di unit Neuro HWD (Neuro High Dependency Ward), Institut Kaji Saraf Tun Abdul Rahman HKL.

Beberapa ahli keluarga dan pegawai kementerian turut kelihatan berada di luar wad berkenaan tetapi hanya ahli keluarga yang dibenarkan masuk menziarahi pesakit.

Seorang ahli keluarga yang ditemui berkata, Mohd Anuar semakin stabil dan berada dalam keadaan lebih baik berbanding malam tadi.

“Dia OK. Boleh berbual dan kenal siapa yang datang ziarah. Alhamdulillah, doakan semuanya berjalan lancar ” katanya.

Difahamkan, Setiausaha Agung Parti AMANAH ini dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah muntah-muntah dan disahkan mengalami pendarahan di kepala.

Keadaan di wad unit Neuro HWD (Neuro High Dependency Ward), Institut Kaji Saraf Tun Abdul Rahman HKL. - NSTP/Aswadi Alias

“Kena tunggu beberapa hari lagi. Doktor akan teliti perkembangan kerana bimbang jika ada simpton lain,” katanya.

Ketika ini, petugas di wad berkenaan hanya membenarkan ahli keluarga terdekat saja masuk menemui pesakit, selepas doktor menasihatkan supaya beliau tidak banyak bergerak atau berbual bagi mengelakkan sebarang tekanan.

Ketika BH berada di luar wad berkenaan, beberapa rakan rapat Mohd Anuar termasuk doktor dari Iran juga tidak dibenarkan masuk untuk menemuinya.

Pagi tadi, Mohd Anuar dikatakan menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melakukan kunjungan singkat ke wad berkenaan.

Dr Wan Azizah menziarahi Mohd Anuar yang ditempatkan di unit Neuro HWD (Neuro High Dependency Ward), Institut Kaji Saraf Tun Abdul Rahman HKL. - Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Temerloh

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X