Sabtu, 26 Oktober 2019 | 6:27pm
Kamarudin (dua dari kiri) pada perasmian Majlis Penutup Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 di Melaka, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman
Kamarudin (dua dari kiri) pada perasmian Majlis Penutup Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 di Melaka, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

Garis panduan CRS kurangkan risiko kematian kanak-kanak di jalan raya

MELAKA: Statistik 1,559 kematian membabitkan kanak-kanak bawah usia 10 tahun akibat kemalangan jalan raya antara tahun 2007 hingga 2017 mendorong pelaksanaan dasar baharu Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (Child Restraint System: CRS) di Malaysia.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata penguatkuasaan dasar baharu penggunaan CRS mulai 1 Januari tahun depan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Bagi tahun 2017 sahaja, seramai 66 kanak-kanak atau 13.45 peratus golongan itu dilaporkan maut akibat kemalangan jalan raya.

“Statistik menunjukkan penurunan 20 hingga 18 kematian sehari. Ia penurunan yang baik tetapi pastinya jumlah itu boleh diperbaiki lagi kerana Kementerian Pengangkutan ingin kurangkan dalam angka yang besar.

“Justeru, garis panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Malaysia ini adalah sebagai langkah permulaan dalam memastikan ia dilaksanakan secara bersepadu dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 di Makmal Ujian Pelanggaran di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) PC3, Tiang Dua, di sini, petang ini. Yang hadir sama, Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak.

Kamarudin berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif MIROS dan Program Penilaian Keselamatan Kereta Baharu untuk Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) bagi menyediakan platform untuk menyebarkan dan meningkatkan pengetahuan berhubung piawaian dan teknologi keselamatan kenderaan terkini.

“Melalui program ini, pengguna termasuk pihak berwajib dan industri berkaitan piawaian dan teknologi keselamatan kenderaan terkini di pasaran boleh mengurangkan kecederaan parah, seterusnya menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Ditanya maklum balas masyarakat susulan penguatkuasaan penggunaan CRS bermula awal tahun depan, Kamarudin berkata, secara umumnya masyarakat khususnya ibu bapa menyambut baik saranan itu.

“Walaupun peratusan kematian jalan raya membabitkan kanak-kanak terus menurun, kementerian mahu kempen kesedaran serta inisiatif penggunaan CRS diperluaskan termasuk memastikan jenis kerusi CRS yang digunakan bersesuaian dengan piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 dibenarkan digunakan di Malaysia,” katanya.

BH pada Rabu lalu melaporkan, kerajaan mengumumkan akan mewajibkan penggunaan CRS dalam kenderaan bermula 1 Januari 2020 bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian, sekiranya berlaku kemalangan.

Seiring dengan langkah itu, MIROS mengeluarkan Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia, yang boleh dimuat turun daripada laman web MIROS.

Berita Harian X