Sabtu, 26 Oktober 2019 | 9:19pm
Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Roseli Abdul. - Foto BERNAMA
Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Roseli Abdul. - Foto BERNAMA

Lawatan Dr M dijangka perkukuh hubungan Malaysia-Turkmenistan

ASHGABAT (Turkmenistan): Lawatan rasmi dua hari Tun Dr Mahathir Mohamad ke Turkmenistan bermula Ahad, dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara ini, sejak 27 tahun lalu.

Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Roseli Abdul, berkata lawatan Dr Mahathir itu adalah atas jemputan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov yang telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2011 dan November 2016.

Beliau berkata, lawatan Dr Mahathir, kali kedua selepas Oktober 1994, juga akan dapat memperkukuhkan lagi pembabitan PETRONAS dalam kerja-kerja penerokaan minyak dan gas di negara ini.

“Fokus utama lawatan Tun Dr Mahathir ini bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, terutama dalam industri minyak dan gas.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan hal berkaitan isu serantau dan antarabangsa,” katanya kepada media Malaysia di sini, pada Sabtu, sempena lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turkmenistan.

Selepas dua lawatan tertinggi dari pemimpin Turkmenistan pada 1994, kerajaan negara ini menyedari pengalaman dan kelayakan PETRONAS dalam bidang industri minyak dan gas, dan menjemput syarikat petroleum Malaysia itu melabur di negara ini.

Selepas itu pada tahun 1996, PETRONAS diberi 32 tahun Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Pada masa ini, Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas yang mempunyai simpanan gas asli di bawah tanah, selepas Russia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang terbukti adalah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara ini belum diterokai.

Mengulas lanjut, Roseli berkata, sebelum ini bagi meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, Kerajaan Malaysia telah membuka Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat pada 2011.

“Dalam masa lapan tahun, pihak Kedutaan telah bekerja rapat dengan PETRONAS Carigali Turkmenistan untuk kepentingan ekonomi negara kita, di samping meneroka bidang baharu seperti perniagaan, pelancongan dan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata hubungan dalam bidang pelajaran juga menggalakkan kerana semakin ramai pelajar dari Turkmenistan berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Malaysia.

Setakat ini, seramai 300 pelajar Turkmenistan berada di Malaysia. PETRONAS melalui program tanggungjawab sosial korporat telah memberi biasiswa kepada 150 pelajar negara ini dalam masa 20 tahun untuk belajar di Universiti Teknologi Petronas, katanya.

Roseli berkata selain PETRONAS, terdapat beberapa syarikat Malaysia yang sedang melabur di Turkmenistan terutama dalam bidang minyak dan gas, sekali gus memberi sokongan kepada syarikat petroleum nasional Malaysia itu.

Malaysia kini sumber pelaburan asing terbesar di Turkmenistan dengan nilai pelaburan terkumpul melebihi AS$10 bilion (RM42 bilion). Turkmenistan adalah rakan dagangan Malaysia yang ketiga terbesar dalam kalangan negara Asia Tengah dengan nilai dagangan berjumlah AS$11.8 juta (RM48.5 juta) pada 2018.

Dalam lawatan ini, Dr Mahathir akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Dr Mahathir dijangka tiba di Ashgabat kira-kira jam 9 malam ini waktu tempatan (kira-kira jam 12 tengah malam waktu Malaysia).

Program lawatan rasmi perdana menteri bermula Ahad dengan majlis sambutan di Istana Presiden, diikuti dengan Mesyuarat Terhad antara Dr Mahathir dan Berdimuhamedov, seterusnya Mesyuarat Delegasi, dan diakhiri dengan kenyataan bersama daripada kedua-dua pemimpin.

Beberapa dokumen dijangka disepakati selepas pertemuan itu iaitu Pertukaran Nota Program Kerjasama antara Kementerian Luar Malaysia dan Turkmenistan untuk 2020/2021; serta Pertukaran Nota Kerjasama Akademi-Diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Turkmenistan.

Selepas program berkenaan, Presiden Turkmenistan itu akan meraikan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah serta delegasi Malaysia pada majlis makan tengah hari.

Pada sebelah malam Ahad, Dr Mahathir dijadual menghadiri jamuan makan malam dengan kira-kira 80 rakyat Malaysia yang bekerja di Turkmenistan.

Perdana Menteri dan isteri dijangka berlepas pulang ke Malaysia pada Isnin. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X