Isnin, 28 Oktober 2019 | 7:21am

Jenazah Pitt Hanif selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah pengarah filem, Pitt Hanif, 43, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU 2, Keramat, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Pitt atau nama penuhnya Mohd Firdaus Mohd Hanif dibawa ke rumah ibunya iaitu pelakon dan aktivis teater, Fauziah Nawi di Taman Melati, Setapak, sebaik tiba dari Hospital Kuala Lipis, Pahang, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Suasana pilu menyelubungi sebaik jenazah tiba dan ia lebih dirasai apabila ibu Allahyarham yang cuba menahan sebak, gagal mengawal air matanya daripada tumpah.

SHAM Mokhtar rakan Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau dikenali sebagai Pitt Hanif, yang terselamat dalam kejadian bot pecah menaburkan bunga rampai selepas jenazah rakannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan artis dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Antara artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir, termasuk Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Rita Rudaini, Syafie Naswip, Azhan Rani, Fasha Sandha dan Zahiril Adzim.

Terdahulu, mayat Pitt yang dikhuatiri lemas di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis pada jam 11 pagi kelmarin, ditemui pasukan penyelamat pada jam 4.25 petang, semalam.

Jenazah seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum dimandi dan dikafankan.

Sejurus semua urusan selesai, jenazah pengarah filem Coast Guard itu dibawa pulang ke rumah ibunya jam 10.30 tengah malam, sebelum tiba dua jam kemudian untuk disolatkan.

Pitt yang juga anak sulung daripada dua beradik meninggalkan seorang isteri, Farah Ahmad dan tiga anak berusia di antara tujuh hingga 16 tahun.

FARAH Ahmad isteri Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau dikenali sebagai Pitt Hanif, menaburkan bunga rampai selepas jenazah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X