Isnin, 28 Oktober 2019 | 7:22am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Malaysia di sini sempena lawatan rasmi dua hari di Ashgabat. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Malaysia di sini sempena lawatan rasmi dua hari di Ashgabat. - Foto BERNAMA

Rakyat Malaysia dipandang tinggi di negara asing - Tun M

ASHGABAT (Turkmenistan): Kelebihan rakyat Malaysia yang bekerja di negara asing sebagai ahli profesional dan memiliki kemahiran dan kebolehan tertentu menjadikan mereka dipandang tinggi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata pada masa ini ramai rakyat Malaysia yang bekerja di negara lain mempunyai ilmu yang tinggi terhadap pekerjaan masing-masing seperti menjadi jurutera, juruterbang serta doktor dan bukannya sebagai buruh kasar atau pembantu rumah.

“Ini menyebabkan rakyat Malaysia di pandang tinggi. Kalau kita bekerja di negara luar sebagai buruh kasar, tentulah pandangan orang asing tidak sebegitu. Ini kerana rakyat kita di luar negara mempunyai kebolehan tertentu dan dapat beri sumbangan kepada negara tempat mereka bekerja.

“Saya harap semua rakyat Malaysia adalah sedemikian dengan menuntut ilmu, memiliki kecekapan dan jadi ahli profesional di luar negara,” katanya pada majlis jamuan makan malam bersama kira-kira 80 warga Malaysia di Turkmenistan di sini, Ahad.

Turut hadir isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Roseli Abdul.

Dr Mahathir yang berada di sini untuk lawatan rasmi dua hari bermula semalam, berkata beliau bangga dengan kemampuan dimiliki rakyat Malaysia yang bekerja di negara asing, malahan apabila pulang ke tanah air mereka memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

“Mereka tetap ingat akan tanah air... walaupun bekerja di negara asing, akhirnya apabila kembali ke Malaysia, mereka sumbang kepakaran di negara sendiri... dengan itu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan bukan lagi negara membangun.

“Kebolehan kita setaraf dengan kebolehan negara maju... inilah hasrat kita dan ada kata kita sudah capai sebahagian (menjadi negara maju) dan ada pendapat kata Malaysia sudah menjadi negara maju tetapi sebenarnya kita belum menjadi negara maju.

“Kita perlu berusaha untuk menguasai semua bidang supaya kita boleh menyumbang kepada pemodenan negara kita dan dunia amnya,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan kemampuan dan kepakaran dimiliki syarikat petroleum negara, PETRONAS, dalam membangunkan industri minyak dan gas di Malaysia dan di luar negara seperti di Turkmenistan adalah satu kejayaan yang luar biasa.

Beliau berkata kejayaan PETRONAS yang kini beroperasi di merata dunia, adalah kerana kakitangan syarikat berkenaan menguasai ilmu dan kecekapan dalam bidang berkenaan, sekali gus mendapat pengiktirafan dari negara asing.

“Hari ini, dunia mengiktiraf PETRONAS sebagai satu gergasi dalam bidang petroleum dan gas. PETRONAS bukan saja keluarkan minyak di Malaysia tetapi mampu memasuki industri ini (minyak dan gas) di luar negara,” katanya.

Selepas dua lawatan tertinggi dari pemimpin Turkmenistan ke Malaysia pada 1994, kerajaan negara itu menyedari pengalaman dan kelayakan PETRONAS dalam bidang industri minyak dan gas dan menjemput syarikat petroleum itu melabur di negara berkenaan.

Pada 1996, PETRONAS diberikan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) oleh kerajaan Turkmenistan selama 32 tahun yang berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Pada masa ini, Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas di dunia yang mempunyai simpanan gas asli di bawah tanah selepas Rusia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang terbukti adalah sebanyak 20 trilion meter padu, namun, jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara ini masih belum diterokai.

– BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X