Isnin, 28 Oktober 2019 | 8:50am

Turkmenistan mahu lanjut PSC kepada PETRONAS sehingga 2038 - Dr Mahathir

ASHGABAT (Turkmenistan): Kerajaan Turkmenistan berhasrat melanjutkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) selama 10 tahun lagi kepada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) untuk beroperasi di negara itu sehingga 2038, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata hasrat itu disampaikan Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov, ketika beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin berkenaan semalam.

“Saya ada berbincang dengan Presiden (Turkmenistan) dan dia mengalu-alukan peranan PETRONAS di Turkmenistan. Dia menyatakan hasratnya supaya PETRONAS terus aktif di sini, dan dia cakap extension (lanjut) (PSC) selama 10 tahun lagi,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia semalam, sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan.

Pada 1996, PETRONAS diberikan PSC selama 32 tahun yang berakhir pada tahun 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Ketika ini Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas di dunia yang mempunyai simpanan gas asli bawah tanah, selepas Russia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang ada sekarang ialah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara itu yang masih belum diteroka.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata lanjutan PSC itu menunjukkan kerajaan Turkmenistan berpuas hati dengan peranan yang dilakukan PETRONAS, dan beliau yakin negara itu akan mempertimbangkan konsesi lain kepada syarikat petroleum nasional itu.

Beliau berkata di Turkmenistan, PETRONAS terbabit 100 peratus dalam aktiviti mengeluarkan minyak dan gas di negara berkenaan, berbanding 15 peratus di Azerbaijan.

Sebelum melakukan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan, Dr Mahathir berada di Azerbaijan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata semasa pertemuannya dengan Berdimuhamedov, Presiden Turkmenistan itu menyuarakan hasratnya supaya diadakan pameran barangan Malaysia di negara berkenaan.

Beliau berkata Berdimuhamedov juga berpendapat bahawa banyak bidang yang boleh dikembang dan ditingkatkan antara Malaysia dan Turkmenistan.

“Kita mendapat sambutan amat baik, mereka sangat mesra dan saya berpendapat kita boleh adakan dagangan dengan mereka walaupun jumlah penduduknya cuma lima juta, tetapi ada (hasil) pendapatan daripada minyak. Mereka kaya, jadi ada baik bagi kita mengambil bahagian dalam dagangan dengan mereka.

“Mereka juga berhasrat supaya mengadakan shipbuilding (pembinaan kapal) di sini, dan kita mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan shipbuilding... kita boleh periksa (lihat) sama ada kita boleh ambil bahagian dalam shipbuilding di sini,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dan Berdimuhamedov, mengadakan mesyuarat terhad diikuti mesyuarat dua hala dan majlis pemeteraian program kerjasama.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

– BERNAMA

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Malaysia di sini sempena lawatan rasmi dua hari di Ashgabat. - Foto BERNAMA
Berita Harian X