Isnin, 28 Oktober 2019 | 3:28pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh melihat plan sebelum ke Tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), di Sungai Belat Kuantan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

7,174 pegawai, anggota pelbagai agensi sedia hadapi banjir di Pahang

KUANTAN: Seramai 7,174 pegawai dan anggota pelbagai agensi di Pahang sudah berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 24 Oktober lalu dan dijangka berlanjutan sehingga Mac tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata persiapan itu merangkumi penghantaran bekalan barangan keperluan asas ke 118 pangkalan hadapan serta mengenalpasti 429 lokasi berisiko banjir sepanjang MTL melanda Pantai Timur Semenanjung.

“Berdasarkan taklimat diberikan pihak Sekretariat Pengurusan Bencana negeri, saya berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan pelbagai agensi di Pahang dan saya dimaklumkan mereka juga sudah mengadakan tiga kali pertemuan (mesyuarat) bagi memastikan semua persiapan ini berjalan lancar.

“Selain itu, pihak Sekretariat (Pengurusan Bencana negeri) juga memaklumkan sebanyak 171 bot pelbagai jenis dan 429 kenderaan pelbagai guna juga sedia digerakkan jika keadaan memerlukan.

“Bagi kawasan yang sukar diakses menggunakan laluan darat pula, sebanyak 245 lokasi pendaratan helikopter juga disediakan bagi memudahkan urusan pemindahan penduduk dan penghantaran bantuan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Bagi Meninjau Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2019/2020 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Pengarah JKM negeri, Zulkhairi Zainol Abidin.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan negeri juga sudah mula menghantar bekalan barangan keperluan asas ke sebahagian besar pangkalan hadapan di Pahang sejak April lalu.

Katanya, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi menyediakan barangan keperluan asas dan RM2 juta untuk bekalan barangan mentah yang diedarkan ke 662 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang secara berperingkat.

Sementara itu, beliau meminta rakyat mengubah mentaliti jika ingin mengelak daripada bencana banjir, terutamanya banjir kilat, berulang di kawasan mereka.

Katanya, selain berpunca daripada taburan hujan luar biasa, sikap masyarakat tidak mementingkan aspek penyelenggaraan seperti pembuangan sampah secara tidak terkawal juga turut menyumbang kepada banjir.

“Memang kita tahu mengenai risiko banjir setiap kali (musim) Monsun (MTL) melanda negeri di Pantai Timur Semenanjung, tapi ia juga berkaitan dengan sikap kita sendiri tidak menjaga kebersihan, masalah penyelenggaraan longkang dan (pembuangan) sampah sarap.

“Kalau kita boleh ubah sikap, kita boleh kurangkan risiko banjir seperti banjir kilat yang kebanyakannya berpunca daripada (sistem) saliran tidak diselenggarakan dengan baik... kita diberitahu bahawa infrastruktur (perparitan dan saliran) adalah baik tetapi aspek penyelenggaraan masih perlu diperbaiki dan amalan menjaga kebersihan perlu dijadikan budaya serta tanggungjawab bersama dalam masyarakat,” katanya.

Berita Harian X