Isnin, 28 Oktober 2019 | 8:23pm
Zuraida (dua dari kiri) mengadakan lawatan tapak ke ‘KT Sentral’ di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto BERNAMA

Perkemas sistem pengurusan sampah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan sedang menjalankan usaha memperkemas proses pelupusan sampah dan pengurusan sisa pepejal supaya lebih tersusun dan terancang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata Terengganu antara negeri yang akan menaik taraf empat pusat pelupusan sampah yang bakal menggunakan teknologi terkini.

Walaupun kadar penghasilan sampah di Terengganu di tahap sederhana, kira-kira 500 tan sehari berbanding negeri maju seperti Selangor yang jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 7,000 tan sehari dan Kuala Lumpur 3,000 tan sehari, sistem pengurusan sampah dan sisa pepejal di negeri ini tidak tersusun.

Justeru, pusat pengumpulan sampah di Sungai Ikan, Setiu; Pengkalan Keling (kini dikenali Paya Rawa) di Besut; Tertak Batu, Marang dan Bukit Jemalang, Kemaman, akan dinaiktaraf dalam masa terdekat.

“Empat pusat pelupusan sampah utama itu hanya tempat pengumpulan sampah dan bukan pusat pelupusan sampah yang teratur dan bersistem.

“Justeru, ia perlu dinaiktaraf dan kita akan menggunakan beberapa teknologi. Memandangkan kapasiti sampah di Terengganu belum sampai ke peringkat tinggi, kita akan gunakan teknologi lebih kecil antaranya dari segi pengasingan sampah dan memproses sisa makanan, manakala bakinya akan masuk ke pelupusan sampah.

“Selain menggunakan insinerator, kita akan proses sisa sampah untuk jadikan gas dan tenaga. Kalau sistemnya sudah teratur, kemudian apabila negeri ini semakin membangun, ia akan menjadi mudah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak ke ‘KT Sentral’ di sini, hari ini.

Mengambil Selangor dan Kuala Lumpur yang menghasilkan kadar sampah yang tinggi setiap hari sebagai contoh, Zuraida berkata, isu pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap adalah penting.

“Kalau diikutkan, negeri maju lebih banyak sampah. Tetapi isunya adalah pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap adalah penting. Kalau pengurusan sampah itu tidak elok, sampah sedikit pun akan menimbulkan masalah.

“Sebab itu di negeri maju pengurusannya lebih kemas dan banyak menggunakan teknologi baharu supaya sampah boleh dikitar semula dan boleh menjadi sumber pulangan wang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri dalam proses melantik operator yang boleh menaik taraf tapak pelupusan berkenaan dan pihaknya menjangka ia dapat dilaksanakan dalam masa satu setengah tahun sebelum boleh beroperasi.

“Kita cadangkan supaya kerajaan negeri melantik operator swasta yang akan melabur untuk menaik taraf pusat pelupusan sampah ini supaya tidak membebankan kewangan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata Terengganu bakal memiliki mini Putrajaya jika cadangan projek KT Sentral di Bandar Baharu Bukit Besar di sini, diluluskan kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada 2021.

Katanya, kerajaan Persekutuan menyokong penuh cadangan projek KT Sentral yang dilihat sebagai prospek baik untuk menyediakan sistem pengangkutan bersepadu yang lebih canggih dengan kapasiti lebih besar, tersusun, moden dan berteknologi yang akan dapat meningkatkan kedatangan pelancong.

“Kerajaan negeri perlu membuat pembentangan lebih terperinci mengenai cadangan projek yang dianggarkan bernilai RM156 juta ini kepada kementerian dan akan dibentangkan di peringkat Pusat untuk diluluskan pada RMKe-12,” katanya.

Berita Harian X