Selasa, 29 Oktober 2019 | 4:35pm
SESI Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Isu dana 1MDB hangatkan persidangan

KUALA LUMPUR: Isu membabitkan 80 individu dan entiti yang disiasat kerana didakwa menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menghangatkan sesi Dewan Rakyat yang bersidang, hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melakukan pendakwaan yang disifatkan mereka sebagai bermotif politik.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) adalah antara yang bangun mempertikaikan tindakan kerajaan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) itu sebagai lebih kepada pendakwaan politik.

Tindakan sama turut dilakukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang mempersoalkan mengenai adanya pilih kasih dalam pendakwaan berkenaan, berikutan ada nama individu yang digugurkan daripada senarai dakwaan selepas ‘lompat parti’.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika sesi menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 menegaskan tidak wujud ‘double standard’ dalam siasatan SPRM itu.

Menurut beliau, keutamaan pendakwaan adalah membabitkan individu dan entiti yang menerima dana paling besar melebihi RM500,000 dan ke atas, selain senarai yang dikeluarkan juga adalah notis kompoun.

Bagaimanapun, jawapan itu tidak dapat meyakinkan Ahli Parlimen pembangkang apabila Datuk Seri Ahmad Maslan (BN – Pontian) bangkit mempertikaikan senarai pendakwaan itu kerana beberapa nama yang tersenarai menerima dana kurang daripada RM100,000.

“Mungkin SPRM tidak beri jawapan yang betul. Misalnya IPF Building Fund Baling dikenakan 50 kali ganda kompoun sehingga RM2.5 juta.

“Bagaimana mereka nak bayar kerana ketika diterima dana itu pada tahun 2012 masih belum ada 1MDB. Bagaimana dapat buktikan itu adalah wang 1MDB?,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN – Arau) turut bangkit meminta supaya kerajaan memastikan bahawa tindakan yang dilakukan SPRM itu tidak berbaur politik tetapi perlu bersih dan adil dari segi undang-undang.

Berita Harian X