Selasa, 29 Oktober 2019 | 8:25pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika ditemui Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

DAP tak terbabit LTTE - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan DAP tidak terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata penahanan beberapa individu termasuk pemimpin sebelum ini hanya membabitkan tindakan individu terbabit dan bukan mewakili organisasi parti politik.

“Sebagai parti, DAP tidak terbabit, yang diambil tindakan adalah individu tertentu. Itu (berkait dengan tindakan) undang-undang bukan soal organisasi politik,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, dua Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) DAP antara 12 individu ditahan selepas dikesan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan tindakan polis menahan 12 individu termasuk dua ADUN itu adalah mengikut lunas undang-undang.

Menyentuh isu kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Muhyiddin menjelaskan, pihaknya sedang meneliti proses pengeluaran kad terbabit berikutan pelbagai dakwaan pengeluarannya disalah guna pihak tertentu.

Beliau berkata, KDN juga tidak pernah mengiktiraf pengeluaran kad UNCHR dari mana-mana negara.

“Kita sedang teliti proses pengeluaran kad UNCHR. Walaupun mereka (UNCHR) keluarkan kad, mereka (pelarian) boleh dianggap pelarian selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita juga tidak iktiraf kad (UNCHR) dikeluarkan negara lain. Kita perlu perbaiki pengurusannya (prosedur keluar kad) supaya mengikut undang-undang negara kita,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mengikut rekod Jabatan Imigresen, setakat 30 Jun lalu, seramai 122,869 orang pemegang pas penggajian dagang pekerja asing dalam pelbagai sektor direkodkan di negara ini.

Katanya, sektor terbesar adalah perkhidmatan iaitu 65,116 orang, diikuti sektor teknologi maklumat, 38,006 orang dan sektor pembuatan seramai 7,381 orang.

“Menerusi jawatankuasa bersama antara KDN dan Kementerian Sumber Manusia sebelum ini, antara keputusan kasar yang dibuat adalah pentafsiran dan penjenamaan semula jawatan tukang masak dan pembantu dapur dengan skop lebih jelas.

“Mesyuarat Kabinet bersetuju supaya tukang masak dan kru restoran saja diwujudkan sebagai penggajian pekerja asing mengikut sub sektor restoran dan ia mula dikuat kuasa pada 1 Julai lalu,” katanya.

Berita Harian X