Rabu, 30 Oktober 2019 | 10:30am
Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-13 pada Majlis Anugerah Akademik Kebangsaan 2019, Kementerian Pendidikan. - NSTP/Aizuddin Saad
Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-13 pada Majlis Anugerah Akademik Kebangsaan 2019, Kementerian Pendidikan. - NSTP/Aizuddin Saad

Zakri dipilih Tokoh Akademik Negara

SERDANG: Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-13 sempena Majlis Anugerah Akademik Kebangsaan 2019, Kementerian Pendidikan.

Majlis penyampaian anugerah berprestij itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, malam tadi.

Pengiktirafan berkenaan membolehkan Zakri yang juga Penasihat Sains kepada Perdana Menteri dan Penasihat Majlis Profesor Negara membawa pulang sijil penghargaan, piala dan hadiah wang tunai bernilai RM200,000.

Pemilihan Zakri dibuat berdasarkan jasa dan sumbangannya secara menyeluruh dan sentiasa menyumbang kepada penemuan ilmu, penjanaan kekayaan negara, memenuhi aspirasi universiti sebagai jentera pembangunan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.

Oleh itu tidak hairanlah jika Zakri pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Penasihat Sains Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pengerusi Bersama Lembaga Penasihat STI Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB. Beliau juga dilantik sebagai pengerusi bersama Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik (ESCAP).

Zakri adalah antara sembilan ahli akademik yang diberi anugerah pada majlis itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-13 kepada Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid (dua dari kanan). - NSTP/Aizuddin Saad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-13 kepada Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid (dua dari kanan). - NSTP/Aizuddin Saad

Penerima lain termasuk Prof Madya Dr Oon Chern Ein dari Universiti Sains Malaysia (USM), yang dinamakan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Harapan.

Prof Dr Lai Oi Ming dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dr Shahreza Md Sheriff dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula menerima Anugerah Pengkomersialan Produk dan Anugerah Pengajaran.

Anugerah Kesenian dan Kreativiti pula diberi kepada Dr Ang Mei Foong dari UPM (Kluster Seni Persembahan), Prof Madya Jalaini Abu Hassan dari Universiti Teknologi MARA (Kluster Seni Visual) dan Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin, yang juga dari UPM (Kluster Penulisan Kreatif) .

Dua penerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal adalah Prof Datuk Dr Abdul Khalil H P Shawkataly dari USM (bidang Sains) dan Prof Dr Sherina Mohd Sidik (bidang Sains dan Sains Sosial) UPM sekali gus membolehkan mereka masing-masing menerima wang tunai RM50,000 bersama sijil dan trofi.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X