Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:05pm
Ibu bapa mesti mencegah anak mereka daripada bermain basikal lajak, terutama di kawasan tumpuan lalu lintas. - Foto hiasan
Ibu bapa mesti mencegah anak mereka daripada bermain basikal lajak, terutama di kawasan tumpuan lalu lintas. - Foto hiasan

Kerajaan, ibu bapa perlu beri perhatian berat isu basikal lajak

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan di peringkat kementerian berkaitan bagi mengkaji trend penggunaan basikal lajak dan langkah penyelesaiannya.

Ini kerana penggunaan basikal lajak masih berleluasa, termasuk di kawasan lalu lintas yang sibuk walaupun sudah berlaku kemalangan sehingga meragut lapan nyawa lebih dua tahun lalu.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, kerajaan perlu memberi perhatian berat terhadap isu ini kerana ia membabitkan keselamatan nyawa.

“Kita tidak mahu insiden sama berulang lagi.

“Satu jawatankuasa perlu diwujudkan bagi mengkaji penggunaan basikal ini, selain kempen yang agresif untuk mencegah kanak-kanak dan remaja bermain basikal lajak ini di tempat awam,” katanya kepada BH, hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepaskan dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ka Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Lam Thye berkata, walaupun ada pihak yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah itu, namun perlu diakui bahawa ia dibuat berdasarkan fakta dan perundangan.

Katanya, keputusan itu memberi implikasi yang amat luas dan seharusnya membuka mata pihak berkuasa untuk meningkatkan penguatkuasaan, selain ibu bapa supaya lebih mengawasi anak mereka.

“Apa yang paling penting, ibu bapa mesti mencegah anak mereka daripada bermain basikal itu, terutama di kawasan tumpuan lalu lintas, selain tidak memberi kebenaran kepada membuat pengubahsuaian basikal.

“Jika berlaku kemalangan, ibu bapa tidak boleh lepas tangan dengan mengatakan ia di luar kawalan mereka kerana menjadi tanggungjawab ibu bapa mengingatkan anak-anak mengenai undang-undang serta kawasan berbahaya bagi aktiviti itu,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X