Khamis, 31 Oktober 2019 | 6:54pm
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman diusir keluar dewan dan digantung menghadiri sidang selama dua hari, mulai hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Khalid diasak bertubi-tubi, Tajuddin diusir keluar dewan

KUALA LUMPUR: Belum sempat memberi salam dan memulakan huraian, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad tiba-tiba diminta ‘mengundur diri’ untuk digantikan dengan timbalannya.

Gesaan disuarakan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) itu adalah bibit awal celahan yang membawa pertelagahan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, peringkat kementerian yang akhirnya mengundang kekecohan ibarat ‘pasar malam’ di Dewan Rakyat.

“Speaker, demi nak tenangkan perbahasan, minta ganti dengan timbalan menteri jawab boleh?

“Beliau (Khalid) tidak layak kerana menteri ‘broker’. Kalau teruskan, kami panas tengok menteri ‘broker’ ini,” katanya mengusulkan cadangan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, petang ini.

Mungkin berasa lucu dengan cuitan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Khalid sambil berdekah mengesyorkan supaya Shahidan keluar dari dewan jika tidak tahan ‘panas’ mendengar suaranya.

Penyelesaian sedemikian ternyata gagal apabila sidang dewan terus gamat sehingga sukar mendengar butiran percakapan mana-mana pihak angkara perdebatan isu Kampung Baru kemudian ditimbulkan.

Sambil memegang helaian kertas hujahan di tangan, Khalid dalam keadaan bersahaja menjelaskan kerajaan tiada niat menjual kawasan segi tiga emas milik orang Melayu itu, sebaliknya ingin membangunkan penempatan berkenaan.

“Ada pemimpin parti Melayu yang 60 tahun pegang pemerintahan, dia bangga kekalkan Kampung Baru dalam keadaan mundur.

“Kita bukan nak jual, broker barulah akan jual, tetapi kerajaan sekarang nak beli,” katanya menyanggah jolokan ‘Menteri Broker’ yang bertali arus dilemparkan beberapa pemimpin pembangkang terhadapnya.

Antara yang mula membangkitkan gelaran itu adalah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sehingga mencetuskan situasi di Dewan Rakyat menjadi huru-hara dan di luar kawalan speaker.

Kesabaran Mohd Rashid akhirnya sampai ke kemuncak apabila peringatan meminta kebenaran sebelum mencelah tidak dihiraukan, sekali gus menyaksikan Tajuddin diusir keluar dewan dan digantung menghadiri sidang selama dua hari, mulai hari ini.

Walaupun diminta beredar oleh bentara, Tajuddin berdegil untuk tidak berganjak dari kerusinya, malah mencelah dan mengasak Khalid daripada terus menyambung ucapan penggulungan.

Selepas hampir 20 minit, kebingitan Dewan Rakyat belum reda kerana pelbagai jolokan baharu diberikan pembangkang terhadap Khalid seperti ‘menteri Carlsberg’, ‘menteri penyamun’ dan ‘menteri wewewewe’.

Jolokan terakhir itu merujuk kepada dakwaan penyelewengan kuasa dilakukan Khalid kerana menyalahgunakan khidmat ‘outrider’ bahagian penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

‘Kemeriahan’ susulan pelbagai jolokan itu gagal dibendung sehingga menyaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh menutup mukanya menggunakan kain selendang selepas gagal mengawal mimik mukanya yang tidak henti ketawa melihat kekecohan sesi perbahasan.

“Menteri BN (Barisan Nasional) tak perlu pakai ‘outrider’ sebab tak buat kerja, bukan macam kami,” kata Khalid ketika cuba menjelaskan penggunaan khidmat berkenaan.

Berita Harian X