Jumaat, 1 November 2019 | 3:44pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis pada sidang media di pekarangan Muzium Rakyat, Bandar Hilir, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis pada sidang media di pekarangan Muzium Rakyat, Bandar Hilir, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

EXCO nafi terbabit 'kerajaan pintu belakang'

MELAKA: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, menafikan pembabitannya dalam gerakan isu ‘kerajaan pintu belakang’ bagi menggantikan kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

Sebaliknya, beliau menegaskan semua EXCO kerajaan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH menyokong penuh kepemimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari, selain meminta spekulasi itu dihentikan.

Muhammad Jailani daripada PKR, adalah ADUN Rembia.

“Saya panggil sidang media ini kerana nama saya dikaitkan dalam isu ‘kerajaan pintu belakang’. Saya mohon hentikan segera spekulasi (kerajaan pintu belakang) dan beri tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk membangunkan negara.

“Kita diberikan mandat oleh rakyat sebagai wakil rakyat, bukannya wakil politik. Usahlah terlalu ‘politiking’ semata-mata, berpolitik cukup lima tahun sekali waktu pilihan raya,” katanya pada sidang media di pekarangan Muzium Rakyat, Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Mengenai dakwaan pembabitan beliau bersama wakil EXCO sebuah parti komponen PH berhubung isu itu, Muhammad Jailani menyangkal pembabitannya secara langsung mahupun tidak langsung.

“Saya rasa spekulasi (kerajaan pintu belakang) ini berkait dengan tangkapan membabitkan ADUN Gadek, G Saminathan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Di peringkat negeri, kita memang adakan pertemuan tertutup dengan Ketua Menteri empat kali sebulan bagi membincangkan pelbagai isu termasuk isu ‘kerajaan pintu belakang’ walaupun ia hanyalah spekulasi,” katanya.

Pada 25 Oktober lalu, BH melaporkan Adly menafikan ada usaha bagi membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ di Melaka memandangkan kerajaan negeri diterajui PH kekal utuh.

Adly mengulas dakwaan sebuah portal berita bahawa wujud usul untuk menggantikan kepemimpinannya melalui pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’ di negeri ini.

Selain menyatakan kerajaan Melaka akan menjadi ujian pertama, usaha kerjasama bagi membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ itu didakwa membabitkan sebuah parti komponen dalam PH dengan UMNO.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek, turut dilaporkan mendakwa ada perbincangan mengenainya sejak beberapa bulan lalu tetapi menafikan pihaknya terbabit sebagai dalang pertukaran kerajaan negeri.

Untuk rekod, kerajaan PH Melaka menguasai 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Daripada 15 kerusi itu, DAP mempunyai lapan kerusi, AMANAH (2) dan BERSATU (2) dan PKR (3).

Berita Harian X