Sabtu, 2 November 2019 | 12:10am
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berucap pada Malam Apresiasi Media Bersama SPRM 2019 di Hotel Zenith. - Foto Luqman Hakim Zubir

Individu, entiti terima kompaun SPRM dakwa bukan 'pengguna akhir'

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada 80 individu dan entiti yang menerima kompaun daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mendakwa mereka bukan ‘pengguna akhir’ dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, mereka mendakwa dana itu dimasukkan ke dalam akaun masing-masing tetapi wang itu tidak digunakan kerana disalurkan kepada pihak lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya akan meneliti dakwaan itu jika individu dan entiti terbabit dapat menyerahkan bukti seperti didakwa.

“Hampir separuh daripada 80 individu dan entiti yang dinamakan SPTM bekerjasama dengan kami, namun kami maklum terhadap beberapa isu seperti kemampuan untuk membayar semula dana itu.

“Ada yang mendakwa mereka bukan ‘end user’ (pengguna akhir). Mereka kata dana itu diterima pihak lain. Bekerjasama dengan kami dan kami akan menyiasat pihak yang didakwa itu,” katanya selepas ditemui pemberita pada Malam Aspirasi SPRM bersama warga media, malam tadi.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (tengah) bergambar bersama sebahagian Pengarang Kanan pengamal media pada Malam Apresiasi Media Bersama SPRM 2019 di Hotel Zenith. Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita Harian, Khaidir A Majid dan Pegarang Berita Kanan Harian Metro, Yusri Malek. - Foto Luqman Hakim Zubir

Oktober lalu, SPRM mengeluarkan kompaun mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001), kepada 80 individu dan entiti.

Keseluruhan wang yang disyaki diterima individu dan entiti terbabit dianggar berjumlah RM420 juta dengan masing-masing menerima antara RM100,000 hingga RM134 juta.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, pihaknya tidak pernah menghalang warga media daripada melaporkan kes rasuah disiasat SPRM, asalkan berita disiarkan adil.

“Mana-mana individu yang disiasat SPRM tidak bermakna dia bersalah dan jika ia disensasikan sudah tidak adil kepadanya, lebih-lebih lagi apabila dipandang serong oleh masyarakat.

“Media bebas membuat laporan tetapi SPRM tidak dapat mengesahkan laporan itu hinggalah siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Berita Harian X