Sabtu, 2 November 2019 | 3:19pm
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long. - Foto Rosela Ismail

Dua UA terakhir terima Food Bank Siswa

CYBERJAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti awam (UA) terakhir penerima program Food Bank Siswa, dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long, berkata pelancaran Food Bank Siswa di dua universiti berkenaan adalah bagi melaksanakan baki daripada 20 UA sebelum dikembangkan ke institusi pengajian tinggi lain.

Beliau berkata, sebanyak 103 penerima Food Bank Siswa lagi membabitkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan keutamaan kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah menjelang 2020, akan diadakan pada tahun depan.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan IPTS, politeknik dan IPG dalam jangka masa terdekat bagi membincangkan program itu termasuk menyediakan ‘food pantry’ dan sukarelawan di universiti berkenaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Skim Perintis Kemahiran Baru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan AIMSMET Global, Datuk Prof Dr Jayles Yeoh dan Pengasas ACT Hubs, Tiffany Lim.

Pada program sama AIMSMET Global dan ACT Hubs turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Yayasan Food Bank Malaysia.

Abdul Wahab berkata, pengumuman kerajaan mengenai peruntukan RM25 juta yang diumum dalam Belanjawan 2020 juga akan melonjakkan ruang capaian program Food Bank Siswa.

Katanya, pada masa ini pihaknya banyak menerima maklum balas dari syarikat besar, industri dan orang awam untuk menderma lebihan makanan terutama di bawah Food Bank Siswa selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma Makanan 2019 diluluskan pada pertengahan Oktober lalu.

“RUU itu juga menggalakkan orang awam untuk menderma tanpa berasa bimbang dan disaman sekiranya berlaku sebarangan kejadian daripada pengambilan makanan yang diderma atau diedar penderma makanan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan dapat memastikan setiap penderma makanan mengikuti piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan makanan mengikut undang-udang sedia ada dengan prosedur operasi standard (SOP) ini, makanan yang dikendalikan selamat dimakan,” katanya.

April lalu, BH melaporkan KPDNHEP menyasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerima bantuan menerusi program Food Bank Siswa Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Ia susulan pertengahan Mac lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif mendedahkan sebilangan pelajar UM dari keluarga B40 terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung kepada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

Pendedahan berkenaan kemudian mendapat perhatian Kabinet yang mahu bantuan segera dihulur kepada mahasiswa memerlukan di semua UA.

Susulan itu, kerajaan meluluskan peruntukan RM3 juta kepada program Food Bank Malaysia untuk diperluaskan ke kampus UA, manakala KPDNHEP bertanggungjawab mengendalikan program mengedar bekalan makanan kepada golongan sasaran.

Berita Harian X