Sabtu, 2 November 2019 | 10:08pm
AN Carlos Algaba.

Pensyarah kanan UM terima anugerah kejayaan rakam lohong hitam

KUALA LUMPUR: Pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Dr Juan Carlos Algaba menerima anugerah ‘Breakthrough Prize in Fundamental Physics 2020’ atas kejayaannya bersama pasukan antarabangsa merakamkan imej pertama lohong hitam, sebelum ini.

Majlis penyampaian anugerah ‘Breakthrough Prize’ kali kelapan yang diperkenalkan selebriti ternama antaranya Mark Zuckerberg dan Sergey Brin ini akan diadakan di Pusat Penyelidikan Ames, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) esok.

Sebelum ini, Dr Juan yang juga Pakar Radio Kosmologi dari Fakulti Sains (Jabatan Fizik) UM ini bersama pasukan saintis antarabangsa berjaya merakamkan gambar pertama lohong hitam menggunakan rangkaian teleskop global pada April.

Penyelidikan dilakukan projek Event Horizon Telescope (EHT) sebuah kerjasama antarabangsa yang bermula pada 2012 cuba untuk meneropong persekitaran langsung lohong hitam.

Makmal Kosmologi Radio UM yang diketuai penyelidiknya, Prof Dr Zamri Zainal Abidin menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menemui imej lohong hitam itu melalui memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani bersama Observatory Asia Tenggara (EAO).

Dr Juan Carlos berasal dari Sepanyol dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Kolej Cork, Ireland sebelum berpindah ke Institut Astronomi dan Astrofizik Akademi Sinica (ASIAA) di Taiwan selama empat tahun.

Beliau kemudiannya bertugas di Institut Sains Angkasa dan Astronomi Korea selama empat tahun dan berhijrah ke Malaysia dengan mengajar di UM dalam bidang kosmologi dan astrofizik.

Dr Juan Carlos berkata, pihaknya amat berbangga dengan penganugerahan yang diterima ini, sekali gus menyifatkan usahanya bersama pasukan antarabangsa itu berbaloi kerana dihargai pelbagai pihak.

“Berjaya menjadi sebahagian daripada projek besar ini adalah amat menakjubkan dan saya bersyukur ia berjaya... walaupun lohong hitam sudah berpusat beberapa dekad, namun ia hanya kekal sebagai sains fiksyen sebelum ini.

“Justeru menjadi sebahagian daripada pasukan yang mampu mendedahkannya buat kali pertama adalah kejayaan besar buat saya dan ia amat istimewa meskipun pengalaman itu amat mencabar, sama ada dari aspek pemerhatian di lokasi yang sangat jauh dan analisis data, ” katanya.

Katanya, kejayaan merakam imej lohong hitam itu hanyalah langkah permulaan kerana pihaknya akan bersama pasukan antarabangsa itu untuk memenuhi visi lain termasuk merakam imej bintang Sagittarius A dan lohong hitam di galaksi Bima Sakti.

Ketika ditanya bagaimana beliau boleh terbabit dalam projek terbabit, pihaknya berminat untuk menyiasat punca kuasa yang menggerakkan fenomena galaksi berpunca daripada lohong hitam.

“Ia juga bermula selaras dengan pengajian yang saya ikuti iaitu fenomena galaksi yang disebabkan lohong hitam dan dalam masa sama, latar belakang kajian saya melalui ‘baseline interferometry’ turut menggunakan teknik sama seperti EHT.

“Justeru apabila saya berpindah ke ASIAA dan menyertai pasukan yang terbabit dalam melancarkan teleskop di Greenland yang akhirnya boleh digunakan untuk EHT, maka jalannya amat mudah untuk menyertai misi ini, ” katanya.

Berita Harian X