Ahad, 3 November 2019 | 4:13pm

Model koperasi urus tanah sawah dilancar tahun hadapan

KOTA TINGGI: Model koperasi perintis yang menguruskan ladang padi berskala besar hasil daripada tanah sawah kecil yang dicantumkan dijangka dilancarkan suku kedua tahun hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya sedang merangka model koperasi bersesuaian yang akan dijadikan contoh kepada pengurusan tanah sawah di seluruh negara.

“Kaedah pengurusan sawah oleh koperasi membuka ruang baharu bagi petani yang memiliki tapak yang kecil iaitu kira-kira satu atau dua hektar sahaja. Jadi, koperasi akan mengumpulkan tanah mereka dan menguruskannya dalam skala besar.

“Kita jangka dalam tempoh lima atau enam bulan lagi, model koperasi ini akan dilancarkan,” katanya pada sidang media selepas program ramah mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Media Johor sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kementerian itu sudah memulakan sesi penerangan kepada pihak berkepentingan terutama petani dalam usaha mencantumkan tanah sawah untuk menjadi ladang padi berskala besar.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata pesawah kecil perlu mencantumkan tanah milik mereka bagi dijadikan ladang padi yang diurus secara profesional dan menjana keuntungan untuk mengelakkan terus terperangkap dalam kemiskinan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, koperasi itu akan bernaung di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Unit Peladang Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau berharap petani memberi kerjasama dan bersedia menyerahkan pengurusan tanah sawah kepada koperasi untuk dimajukan pada masa hadapan.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub melakukan aktiviti menembak pada program ramah mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Media Johor sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Kota Tinggi, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X