Isnin, 4 November 2019 | 4:50pm
YEO Bee Yin menjawab soalan media pada sidang media selepas menjawab di dalam persidangan Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
YEO Bee Yin menjawab soalan media pada sidang media selepas menjawab di dalam persidangan Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kajian Akta Pencemaran Merentasi Sempadan siap tahun depan

KUALA LUMPUR: Kajian untuk menetapkan hala tuju dan kesan pelaksanaan Akta Pencemaran Merentasi Sempadan dijangka siap Januari depan.

Ia susulan keputusan kerajaan untuk mengkaji keperluan perundangan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu atau syarikat yang mengakibatkan pencemaran alam sekitar merentasi sempadan negara termasuk masalah jerebu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata pada masa ini kajian berkenaan dilaksanakan sebuah jawatankuasa khas diterajui pakar perundangan dan perunding alam sekitar termasuk dari Jabatan Peguam Negara dan universiti tempatan.

“Rundingan dengan semua pihak berkenaan mengambil masa tiga bulan untuk memastikan akta yang digubal mampu memenuhi keperluan semasa.

“Seterusnya kertas Kabinet akan disiapkan untuk dikemukakan kepada jemaah menteri dan jika diluluskan Kabinet, kementerian akan menggubal draf Rang Undang-Undang Pencemaran Merentasi Alam Sekitar.

“Ini untuk membolehkan kita mendakwa dan membawa mereka yang melakukan kesalahan berkaitan ke mahkamah di Malaysia,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, beliau memberitahu Malaysia diyakini selesa untuk mencapai sasaran mengurangkan intensiti pelepasan karbon dioksida sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Komitmen itu berdasarkan Perjanjian Paris ditandatangani negara di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC) untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon.

Berita Harian X