Isnin, 4 November 2019 | 5:45pm
DR A Xavier Jayakumar
DR A Xavier Jayakumar

Fenomena 'cloudburst' punca banjir kilat di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Fenomena ‘cloudburst’ (hujan serta ribut) yang melanda negara sekali dalam tempoh 25 tahun menjadi punca kejadian banjir kilat di Lembah Klang baru-baru ini.

Fenomena itu membawa taburan hujan tinggi secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata faktor penduduk dan pembangunan pesat antara faktor yang menyumbang kepada bencana itu.

“Kita tidak ada keperluan untuk mengatasi masalah ini kerana ia membabitkan perubahan iklim lebih-lebih lagi kehadiran fenomena ‘cloudburst’ baru-baru ini.

“Justeru, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kewangan akan menjalankan kajian bagi mengatasi banjir kilat di Lembah Klang sebagai persediaan masa hadapan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai usaha kerajaan mengatasi kejadian banjir kilat seperti yang berlaku sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Xavier menjelaskan, kementeriannya menganggarkan sejumlah RM54 juta perlu diperuntukkan bagi kos menyelenggara untuk menangani kejadian banjir kilat.

“Kita perlu berbelanja besar untuk kos selenggara (sistem perparitan) itu,” katanya.

Dalam kejadian 22 Oktober lalu, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa jalan utama di ibu negara dilanda banjir kilat dan beberapa kenderaan dilaporkan terperangkap.

Jalan terbabit termasuk Jalan Tuanku Abdul Halim di kedua-dua arah serta Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran susur ke Parlimen.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X