Isnin, 4 November 2019 | 7:30pm
P Waytha Moorthy

SPRM siasat bekas menteri, timbalan menteri BN terima dana kaum India

KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri Barisan Nasional (BN) didakwa menerima dana yang sepatutnya disalurkan kepada kaum India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, berkata dana Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) itu tidak sampai kepada kumpulan sasar, sebaliknya diberikan kepada tiga individu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu terbabit.

Katanya, perkara itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca dana itu diberikan kepada mereka.

 

“Ada rungutan yang berasas mengenai dana yang dikemukakan semasa pentadbiran kerajaan BN, tidak sampai kepada golongan sasar, sedangkan kita dapati tiada sebarang dana diberikan kepada MIC.

 

“Bagaimanapun, wujud salah laku dalam penyampaian dana itu apabila sejumlah dana disampaikan terus kepada seorang bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan SN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya sama ada dana SEDIC disalurkan kepada pihak serta parti politik tertentu, termasuk MIC.

 

Terdahulu, Waytha menjelaskan dana SEDIC yang sepatutnya disalurkan kepada kaum India menerusi pelan tindakan projek pembangunan kaum itu, tidak sampai kepada golongan sasar.

 

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Audit Negara melaksanakan audit sepenuhnya bagi mencari kebenaran tentang berapa jumlah sebenar sampai kepada rakyat.

Pada Januari tahun lalu, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Program Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India dikendalikan SEDIC, selain RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan RM50 juta untuk kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah Tamil.

Berita Harian X