Selasa, 5 November 2019 | 11:39am
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Pangkalan data imunisasi Orang Asli

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mewujudkan pangkalan data komprehensif membabitkan Orang Asli dalam usaha memberikan imunisasi dan vaksinasi kepada masyarakat itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya giat mengesan masyarakat itu khususnya kanak-kanak bagi memastikan mereka mencapai imuniti kelompok iaitu sekurang-kurangnya 95 peratus kanak-kanak diimunisasi.

“Apa yang berlaku kepada Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Kelantan berpunca daripada mangsa tidak mendapat imuniti kelompok, maka berlaku kes (demam campak) seperti apa yang menimpa mereka.

“Apa yang penting sekarang, kita mewujudkan pangkalan data dan ini membolehkan kami melaksanakan program imunisasi kepada mereka.

“Pangkalan data itu sentiasa dikemas kini kerana kita giat mengesan Orang Asli untuk memastikan mereka mencapai tahap 95 peratus imuniti kelompok,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai usaha dilakukan kerajaan memastikan masyarakat Orang Asli mendapat imunisasi.

Menjawab soalan asal Ahmad Hassan (Warisan-Papar) mengenai pelaksanaan vaksinasi kepada kanak-kanak tidak memiliki dokumen, Dr Dzulkefly menjelaskan, perkhidmatan imunisasi bergantung kepada fi yang dikenakan.

Bagi bukan warganegara atau tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, perkhidmatan imunisasi tertakluk kepada Fi yang ditetapkan mengikut Seksyen 3 Akta Fi 1951, Perintah Fi (Perubatan)(Kos Perkhidmatan) pindaan 2014.

Mereka dikenakan RM40 untuk yuran pendaftaran (termasuk perundingan dan ubat) dan RM40 untuk setiap suntikan imunisasi yang diberikan.

“Suntikan imunisasi yang diberikan kepada mereka adalah sama seperti suntikan yang diberikan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X