Selasa, 5 November 2019 | 2:48pm
- Foto hiasan

UMMAH gesa Parlimen bahas, kutuk LTTE

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menuntut Dewan Rakyat membahaskan usul mengutuk dan mengesahkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas dan gerakan haram.

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya, berkata Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang perlu membangkitkan isu ini bagi menegaskan pendirian pemimpin politik negara untuk menolak LTTE.

Beliau menjelaskan, tuntutan itu berikutan ada individu dan pemimpin politik yang dilihat cuba mempertahankan gerakan LTTE, khususnya selepas 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP, ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan menyokong kumpulan pengganas itu.

“Kita minta Ahli Parlimen untuk bangkitkan isu ini dalam Parlimen, biar diwarta dan disahkan dalam Parlimen bahawa LTTE adalah gerakan haram yang perlu diambil tindakan secepat mungkin.

“Kita harap bukti dimiliki polis cukup untuk menangkap dan memenjarakan mereka selama mungkin, biar penyokong LTTE ini tidak lagi menghasut rakyat, kononnya mereka nak tuntut kebebasan. Ini bukan kebebasan, ini menjahanamkan negara.

“Jika tiada tindakan tegas daripada kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya, kita tidak tolak kemungkinan mengajak rakyat berhimpun.

“Kita juga harap Peguam Negara (AG) jangan campur tangan dalam isu LTTE ini atau kami berarak sekali lagi ke pejabat AG,” katanya kepada pemberita di hadapan pintu masuk Parlimen, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 40 wakil UMMAH dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) berhimpun di susur masuk ke Parlimen untuk menghantar memorandum ‘Selamatkan Malaysia Daripada Pengganas’ kepada wakil Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ketua Whip Pakatan Harapan, Datuk Johari Abdul menerima memorandum itu bagi pihak kerajaan, manakala Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi pihak pembangkang.

Semua 12 individu termasuk dua ADUN DAP didakwa di mahkamah pada 31 Oktober lalu, selepas ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kerana dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

LTTE adalah organisasi militan diasaskan Velupillai Prabhakaran, yang tersenarai sebagai kumpulan pengganas di lebih 30 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Malaysia mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas pada 2014.

Berita Harian X