Selasa, 5 November 2019 | 2:55pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - Arkib NSTP

136 NGO diaudit bagi PPSMI

KUALA LUMPUR: Sejumlah 136 daripada 537 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diaudit berkaitan pelaksanaan Program Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (PPSMI) yang menerima peruntukan dari Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC).

Skop pengauditan oleh Jabatan Audit Negara itu tertumpu kepada program yang dilaksanakan bagi tempoh 2014 hingga Mei 2018 di empat negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, berkata dapatan audit mengenalpasti empat isu utama selain salah laku menguruskan SEDIC membabitkan bekas menteri kesihatan dan timbalan menteri masing-masing dari Jabatan Perdana Menteri dan Unit Perancangan Ekonomi.

Katanya, sebanyak 20 fail didapati hilang membabitkan peruntukan kepada SEDIC pada 2014 berjumlah RM10.77 juta bagi pelaksanaan PPSMI.

“Peratus perbelanjaan pada tahun itu adalah 100 peratus, iaitu semua peruntukan disalurkan kepada 20 NGO bagi melaksanakan 23 program.

“Tetapi semua 20 fail berjumlah RM10.77 juta itu tidak dapat dikesan dan tiada dalam simpanan SEDIC.

“Justeru, hasil mesyuarat dan nasihat Jabatan Audit Negara dan Jabatan Perdana Menteri, MITRA membuat laporan polis pada 24 Oktober lalu mengenai kehilangan fail berkenaan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) mengenai tindakan salah laku dalam SEDIC ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional terdahulu selain isu ketelusan dan penyalahgunaan kuasa terhadap peruntukan yang diberi.

Katanya, pada tahun 2017, SEDIC menerima peruntukan RM57 juta di bawah PPSMI, selain RM55.26 juta disalurkan kepada 220 NGO dan 22 institut latihan kemahiran swasta (ILKS).

“Daripada jumlah itu, 49 NGO yang gagal di peringkat penilaian menerima peruntukan RM18.91 juta,” katanya.

Bagi tempoh 2014 hingga 2017, lima NGO dan satu ILKS menerima peruntukan RM8.14 juta di bawah PPSMI. Sebanyak RM2.86 juta tidak dibelanjakan tetapi tiada lebihan dipulangkan kepada kerajaan.

Bagi tempoh 2014 hingga 2017, sebanyak 18 NGO tidak mengemukakan dokumen sokongan termasuk baucar bayaran bagi membuktikan perbelanjaan yang dibelanjakan berjumlah RM8.13 juta bagi pelaksanaan 21 program.

Laporan audit juga mendapati perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM38.2 juta bagi tahun 2014 hingga Mei lalu tidak mencapai objektif meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat India.

Berita Harian X