Rabu, 6 November 2019 | 11:31am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto BERNAMA

Empat kekangan untuk laksana 17 agenda SDG 2030 - PM

KUALA LUMPUR: Malaysia terpaksa mengharungi empat kekangan utama dalam usaha melaksanakan kesemua 17 agenda yang digariskan menerusi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Tempias daripada kekangan yang turut dialami negara di seluruh dunia itu merangkumi degradasi kawasan hutan, laut dan sumber air tawar serta peningkatan kejadian geomorfologi dan hidro-meteorologi.

Isu mengimbangi kepentingan etika dan keadilan dalam perubahan iklim, selain penyusutan kadar pengeluaran makanan serta sistem ekonomi yang dipacu alam sekitar, dikesan menjadi faktor utama penghalang usaha merealisasikan SDG 2030.

Menongkah pendekatan proaktif, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha memacu pembangunan di negara ini harus dilaksanakan secara seimbang, dengan memikirkan kepentingan perubahan iklim, degradasi alam sekitar dan penggunaan sumber alam secara lestari.

Mengambil kira percaturan sedemikian, kerajaan berpendirian bahawa teknologi digital memainkan peranan penting ke arah usaha mencapai 17 agenda SDG 2030 yang dipersetujui secara sebulat suara menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2015 lalu.

“Walaupun inovasi mungkin memberikan kesan positif dan negatif, penggunaan rangkaian teknologi dilihat lebih berkesan untuk mencapai semua matlamat SDG, memandangkan kita mempunyai tempoh berbaki kira-kira 10 tahun sebelum 2030.

“Pada masa sama, masyarakat di bawah garis kemiskinan lazimnya tidak mempunyai capaian kepada teknologi, justeru ia cabaran kepada kerajaan untuk memastikan tiada yang akan tercicir daripada arus pembangunan.

“Selain itu, mengambil kira kepesatan inovasi, kita tidak sempat memperhalusi banyak peluang dan risiko mengikut tempoh yang diberikan, justeru pendekatan berteraskan Revolusi Industri 4.0 wajar menjadi sandaran,” katanya pada ucaptama perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim serta Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner.

Penganjuran sidang kemuncak selama dua hari sehingga esok, bertemakan ‘Memacu Kemajuan SDG: Pendekatan Menyeluruh Negara’ itu turut menghimpunkan 18 panel merangkumi pelbagai kepakaran bagi mengulas kemajuan 17 sasaran yang digariskan.

Bagi memastikan usaha pembaharuan Malaysia berada pada landasan betul, Perdana Menteri berkata, rangkaian usaha, selari dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) kini dilaksana berlandaskan dua prinsip utama, iaitu integriti dan tadbir urus yang baik.

Pelaksanaan prinsip berkenaan merentasi enam sektor, iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan keadilan, penguatkuasaan undang-undang serta tadbir urus korporat.

“Bagaimanapun, usaha mencapai matlamat digariskan dalam SDG seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan menangani perubahan iklim menjelang 2030 memerlukan peruntukan dana yang banyak.

“Beban kewangan seperti ini adalah di luar kemampuan kerajaan, justeru sektor swasta dan pasaran kewangan harus menggembleng tenaga dan tampil menyalurkan bantuan,” katanya.

Berita Harian X