Rabu, 6 November 2019 | 4:37pm
Dr Mahathir bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu berhubung pemilihan penggantinya bagi jawatan Perdana Menteri.

Saya tak mahu tersalah pilih pengganti sekali lagi - Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu berhubung pemilihan penggantinya bagi jawatan Perdana Menteri.

“Saya buat banyak kesilapan melantik pengganti... Jadi saya tidak mahu buat silap lagi kali ini.

“Sesiapa pun akan rasa berdebar apabila hendak menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada penggantinya,” katanya dalam pertemuan dengan akhbar Financial Times, di Bangkok, baru-baru ini.

Perdana Menteri merujuk kepada kekecewaannya dalam memilih pengganti pada 2003 dan 2009, masing-masing membabitkan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir bagaimanapun mengulangi komitmen beliau bahawa tiada perubahan mengenai calon penyandang seterusnya untuk menerajui tampuk pentadbiran Malaysia apabila semua isu berkaitan ekonomi, termasuk bebanan hutang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan.

“Tidak, sebenarnya tiada tarikh atau tempoh tertentu yang dinyatakan, sebaliknya keputusan untuk mengundurkan diri bergantung kepada beberapa masalah yang Malaysia hadapi ketika ini.

“Saya ada pengalaman menyelesaikan kemelut kewangan, jadi mereka mahu saya untuk (terus pikul tugas sebagai Perdana Menteri) bagi merungkai isu terbabit sebelum meletakkan jawatan,” katanya.

Isu peralihan kuasa sering kali menimbulkan ketegangan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan segelintir pemimpin utamanya mengusulkan supaya Dr Mahathir kekal menerajui tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri selama satu penggal penuh, iaitu hingga 2023.

Gesaan sedemikian turut disuarakan enam Ahli Parlimen UMNO, pada 24 Oktober lalu, yang tampil memberi sokongan supaya Pengerusi PH itu meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Berita Harian X