Rabu, 6 November 2019 | 5:44pm
Malaysia memohon perbicaraan Roger Ng (baju biru) dimulakan pada April depan ketika tempoh 10 bulan yang dipersetujui AS berakhir pada Mac. -Foto Reuters

Bekas eksekutif Goldman Sachs dibicara April 2020

KUALA LUMPUR: Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, akan dibicarakan di Malaysia pada April depan kerana didakwa bersubahat dalam penjualan bon AS$6.5 bilion (RM26.89 bilion) dikaitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata seorang pegawai perundangan hari ini.

Malaysia menyerahkan Ng kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) selama 10 bulan di mana dia didakwa bersubahat menyeleweng dan merasuah pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi menerusi bon tawaran diuruskan Goldman Sachs Group Inc.

Ng mengaku tidak bersalah atas dakwaan di Malaysia dan AS.

Malaysia memohon perbicaraan dimulakan pada April depan ketika tempoh 10 bulan yang dipersetujui AS berakhir pada Mac, kata Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir kepada Reuters.

“Pihak pendakwaan memohon perbicaraan diadakan pada April,” kata Zaki menerusi mesej teks.

Pendakwa raya berkata, Goldman Sachs memperoleh kira-kira AS$600 juta (RM2.48 bilion) bayaran untuk tugasnya dengan 1MDB, termasuk tiga tawaran bon pada 2012 dan 2013 yang mengumpul dana AS$6.5 bilion (RM26.89 bilion).

Ng, bersama Tim Leissner, bekas rakan kongsi di Goldman Sachs di Asia, menerima bayaran bonus lumayan dikaitkan dengan keuntungan itu.

Malaysia berkata, ia akan menuntut sehingga AS$7.5 bilion (RM31.02 bilion) pembayaran balik daripada Goldman Sachs berhubung urus niaganya dengan 1MDB, ditubuhkan pada 2009 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Najib, yang kalah dalam pilihan raya umum tahun lalu, berdepan 42 pertuduhan jenayah berkaitan kerugian 1MDB dan entiti lain negara. Pemimpin itu mengaku tidak bersalah.

Bulan lalu, Goldman Sachs berkata, ia sedang berbincang dengan pihak berkuasa berhubung penyelesaian dalam siasatan berkaitan 1MDB.

Malaysia menolak tawaran pampasan kurang AS$2 bilion (RM8.27 bilion) daripada Goldman Sachs berhubung skandal itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada akhbar Financial Times minggu lalu. -Reuters

Berita Harian X