Khamis, 7 November 2019 | 10:04am

Dr Mahathir, isteri terharu terima anugerah ASWARA

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad, dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) sempena Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ke-15, hari ini.

Anugerah kepada Perdana Menteri disampaikan Rektor ASWARA, Prof Madya Sahar Sa’adi Hashim, dengan disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Penganugerahan itu adalah sebagai penghargaan dan penghormatan tinggi buat Dr Mahathir atas jasa selain pengorbanannya membangunkan serta melestarikan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan.

Dalam istiadat sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut dikurniakan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif) atas sokongan padu mengangkat industri seni persembahan tanah air.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata beliau dan isteri terharu dengan anugerah yang diberikan dan berterima kasih kepada ASWARA serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terhadap penghargaan yang diberi.

“Terlebih dulu saya ucap terima kasih kepada ASWARA dan pihak kementerian atas anugerah ijazah kehormat kepada saya dan isteri. Kami berasa amat terharu menjadi penerima anugerah ini.

“Saya diberitahu ini adalah julung-julung kalinya Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif diperkenalkan di Malaysia oleh ASWARA iaitu sebuah institusi pendidikan tinggi seni dengan prasarana yang dinamik di Malaysia.

Penganugerahan ini sudah pasti sangat amat bermakna buat kami tetapi yang lebih penting ialah anugerah ini meletakkan seni dan budaya sebagai satu subjek yang perlu mendapat perhatian,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata budaya boleh menentukan berjaya atau tidaknya sesuatu bangsa, bahkan seseorang individu.

Katanya, ini disebabkan budaya merangkumi nilai hidup yang mempengaruhi gerak geri masyarakat manusia.

“Sekarang sudah sampai masanya kerajaan dan rakyat Malaysia memberi perhatian kepada

seni dan budaya negara kita kerana ia adalah tunjang kepada identiti bangsa,” katanya.

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (dua kiri) hadir pada Majlis Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Ke-15 di ASWARA hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X