Khamis, 7 November 2019 | 11:45am

PLUS diminta kaji semula penutupan tambah nilai TnG di lorong tol

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diminta untuk mengkaji semula keputusan menghentikan perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go (TnG) di semua lorong keluar plaza tol miliknya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menggesa PLUS mengambil kira pandangan pengguna yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.

“Saya kira, pandangan pengguna penting untuk diberikan perhatian kerana kemudahan yang disiapkan (di lebuh raya) itu adalah untuk memberikan keselesaan kepada mereka.

“Langkah menutup lorong tambah nilai itu mungkin keputusan yang diambil pihak pengurusan PLUS.


KUALA LUMPUR 30 OKTOBER 2019. Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang media selepas persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON

“Saya berharap pengurusan PLUS dapat meneliti semula keputusan itu dengan mengambil kira pandangan pengguna lebuh raya, dan mereka harus menyediakan pilihan bagi kemudahan pengguna,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan BH hari ini, berhubung pandangan pelbagai pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap langkah PLUS menghentikan perkhidmatan tambah nilai kad TnG di semua lorong keluar plaza tol miliknya.

Orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya perkhidmatan itu diteruskan bagi kemudahan pengguna, sehinggalah khidmat tambah nilai secara dalam talian menerusi e-wallet diaktifkan di semua lebuh raya milik PLUS.

Bagaimanapun, jurucakap PLUS mempertahankan langkah itu dan berkata, masalah tidak akan timbul sekiranya pengguna membuat persediaan awal, selain penutupan lorong tambah nilai hanya membabitkan lorong keluar plaza tol.

Sabtu lalu, PLUS memaklumkan menutup perkhidmatan tambah nilai TnG di semua lorong keluar plaza tol di lebuh rayanya mulai kelmarin.

PLUS memberi alasan tindakan itu diambil untuk mengurangkan kesesakan yang berpunca daripada urusan tambah nilai di lorong tol.

Berita Harian X