Jumaat, 8 November 2019 | 12:59pm
WAN Saiful menyampaikan pengesahan manfaat perlindungan takaful SSPN-i Plus kepada penerima yang baru kehilangan suami, di Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

SSPN-i Plus jamin pendidikan anak

KUALA LUMPUR: Seorang isteri tidak menyangka tindakan suami menyuruhnya menyelesaikan permohonan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) secara tergesa-gesa, seakan memberi gambaran dia akan pergi buat selama-lamanya.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Azlin dari Kuala Lumpur menceritakan pengalaman itu ketika kunjungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke rumahnya Jumaat lalu.

“Saya pun tidak tahu mana dia dapat info mengenai SSPN-i Plus dan mengapa dia tergesa-gesa meminta saya menghantar borang pembukaan akaun yang sudah dilengkapkan olehnya ke pejabat PTPTN.

“Hari Jumaat, 12 April, suami hubungi saya dan meminta menghantar segera borang pembukaan akaun untuk dua anak kami.

Saya segera menunaikan hasratnya dengan membawa dokumen dan membuka akaun di Menara PTPTN.

“Bagaimanapun, pada 25 April, suami terbabit dengan kemalangan dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital,” katanya kepada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pada kunjungan itu.

Wan Saiful hadir menyerahkan pengesahan pemberian manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian SSPN-i Plus kepada Azlin.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hong Leong MSIG Takaful, Mohd Asri Omar.

Wan Saiful berkata, walaupun akaun SSPN-i Plus itu dibuka oleh Allahyarham untuk kedua-dua anaknya hanya dalam tempoh dua minggu, akaun itu layak menerima perlindungan takaful dan khairat kematian kerana manfaat berkenaan diberikan secara serta merta untuk kematian akibat kemalangan bagi semua pakej SSPN-i Plus.

Dengan mengambil pakej Delima berjumlah RM50 sebulan, Allahyarham mendapat perlindungan takaful sebanyak RM40,000 dan khairat kematian RM2,500 bagi setiap akaun dan menjadikan jumlah keseluruhan manfaat takaful dan khairat kematian berserta nilai tunai diterima waris adalah sebanyak RM85,093.36.

“Manfaat yang diterima ini mampu meringankan beban kewangan waris untuk menampung pengajian anak. Perancangan kewangan untuk pendidikan anak melalui SSPN-i Plus yang dibuat oleh Allahyarham adalah pilihan tepat.

“Masyarakat perlu cuba untuk menyimpan bermula dari awal, walaupun dengan jumlah sedikit, agar dalam jangka masa panjang akan mendapat pulangan berganda.

“Sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada ibu bapa seperti kes ini, masa depan pendidikan anak akan terjamin dan tidak menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pendaftaran pakej Takaful PTPTN, sila klik di sini; https://bit.ly/2rgpr7V

Berita Harian X